PEMIMPIN YANG ADIL
1. Abu
Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.
bermaksud:
Tujuh
golongan yang akan mendapat naungan arasy Allah pada hari kiamat kelak ialah:
Seorang imam yang adil, seorang pemuda yang masa mudanya dihabiskan dengan
beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua
orang yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah keranaNya,
seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang berdarjat dan rupawan agar
berzina tetapi ditolaknya dengan alasan takut kepada Allah, seorang, yang memberi satu sedekah secara senyap sehingga
tangan kiri tidak tahu apa yang diberi oleh tangan kanan, dan seorang yang
beribadat ditempat sunyi sehingga mengalir air matanya.
Riwayat
Bukhari dan Muslim.
2. Imam atau pemimpin mendapat keistimewaan dan
keutamaan di sisi Allah, berbanding dengan semua kumpulan lain. Nabi Muhammad s.a.w.,
Rasul-rasul Ulul Azmi, semua rasul dan para anbia’ selain menggalas tugas
risalah dan nubuwwah, juga mengepalai kepimpinan barisan hadapan berada di
bawah naungan tersebut. Di belakang mereka ialah Khulafa’ al Rasyidin,
khalifah-khalifah dan kepala Negara yang memimpin umat ke jalan Allah dengan
penuh keadilan dan mendapat keredaanNya. Kedudukan pemimpin yang adil mengatasi
semua kedudukan golongan lain, mengatasi kedudukan para wali dan ahli-ahli
ibadat yang lain.
3.
Perlakuan seorang pemimpin akan memberi
kesan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain. Keadilan
seorang pemimpin akan dirasai oleh seluruh orang yang berada di bawah
kepimpinannya. Semakin besar amanah kepimpinan yang dipegangnya semakin besar cabaran
dan infaknya. Sebagai contoh tindakan
seorang ketua Negara seperti seorang Maharaja, Presiden, Perdana Menteri,
menteri dan seterusnya akan memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada
rakyat atau komuniti yang dipimpinnya. Semua gerak-geri mereka menjadi
perhatian umum, menjadi ikutan dan tauladan kepada mereka. Berbeza dengan
tindakan seorang ahli ibadat biasa,
sebesar manapun kebaikan atau kejahatan yang dilakukannya oleh seorang ahli
ibadat infaknya sering terbatas kepada dirinya atau bilangan yang kecil.
4. Perutusan Rasulullah s.a.w. menjadi rahmat
keseluruh alam. Segala perbuatan, ucapan dan pengakuan baginda menjadi ikutan
kepada umatnya, meskipun amat kecil. Nabi Sulaiman a.s. menyedari kehadirannya
membawa bala tentera ke satu wadi menggusarkan semut-semut di situ. Menurut
sangkaan semut Sulaiman tentu tidak menyedari kehadiran mereka akan menimbulkan
kesusahan kepada mereka. Rupanya tindakan baginda telah mengambil kira
kebajikan semut berkenaan. Begitu juga, Sulaiman sedar ketidakhadiran makhluk
kecil burung Hud-hud dalam perhimpunannya. Baginda sedia mendengar dan menerima
alasan yang diberikan Hud-hud dan bukannya sewenang-wenang menjatuhkan
hukuman. Nabi Yusuf a.s. pula telah menunjukkan
contoh keadilannya sewaktu memegang kuasa dengan memastikan hanya orang yang
terbukti bersalah mencuri sahaja dihukum. Baginda berlindung dengan Allah dari
melaksanakan hukuman secara zalim.
5. Lawan
sifat adil ialah zalim atau kejam. Kekejaman seorang individu biasa seperti
perompak hanyalah memberi kesan kepada mangsanya sahaja. Sebaliknya kezaliman
atau kekejaman itu seorang diktator, Presiden, Perdana Menteri, Raja atau
menteri sesebuah Negara meninggalkan kesannya amat parah kepada jutaan rakyat
jelata. Contoh pemimpin Negara yang zalim yang direkod oleh al Quran ialah
Firaun, Namrud, Abu Lahab dan pemuka-pemuka Quraisy.
6. Imam atau pemimpin memegang amanah khilafah
yang amat besar dan berat. Cabaran dan halangan yang mereka hadapi bagi melaksanakan
amanah tersebut amat besar dan getir. Langit, bumi, bukit-bukau yang kuat dan
teguh pun tidak mampu melaksanakannya. Malaikat-malaikat Allah pun tidak mampu memikul
tanggunjawab tersebut. Disebabkan besarnya cabaran yang dihadapi oleh imam atau
pemimpin Negara maka layaklah mereka menjadi orang yang paling utama dan berada
di barisan hadapan kiamat kelak.
Imam
Tabrani meriwayatkan hadis Nabi s.a.w.:
أفضلُ
الناس عند الله منزلةً يوم القيامة إمامٌ عادلٌ رفيق، وشرُّ عباد الله عند الله
منزلةً يوم القيامة إمامٌ جائر"
Orang yang paling utama kedudukannya di sisi Allah kiamat kelak
ialah seorang imam yang adil dan belas ihsan. Manakala kedudukan hamba Allah
yang paling buruk hari kiamat kelak ialah seorang imam/pemimpin yang zalim.
7. Fungsi utama Imam atau
pemimpin adalah memelihara agama Islam, menjaga kebajikan rakyat dan
menguruskan mereka dengan sebaiknya . Dua tugas tersebut mesti didahulukan,
mengatasi ibadat sunat seperti semua solat
sunat, zikir, tilawah dan sebagainya. Pemimpin yang kuat melakukan ibadat sunat
tetapi mengabaikan kebajikan rakyat yang menjadi kewajipannya adalah melakukan kesilapan
yang amat besar. Kaedah fiqh menyebut:
لايترك
الواجب لواجب
Perkara wajib
tidak boleh ditinggalkan melainkan bila bertembung dengan perkara wajib juga
Jika beberapa perkara wajib bertembung dalam satu masa pun
hendaklah didahulukan perkara wajib yang paling mendesak dan memberi infak
paling besar.
Tindakan baik dan bermaslahat untuk rakyat yang dilakukan oleh
seorang pemimpin amat besar pahalanya, lebih besar daripada pahala ibadat sunat
yang lama dan utama. Sebaliknya jika pemimpin
salah, cuai, zalim, kejam,
bertindak kerana kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata, maka dosanya amatlah besar berbanding dosa yang dilakukan
oleh individu bukan pemimpin. Abu
Hurairah menyebut:
“Berlaku adil sesaat itu lebih afdhal dari beribadat selama enam
puluh tahun, yang dipenuhi dengan qiamullail dan puasa. Manakala berlaku zalim semasa
memerintah lebih besar
dosanya dari berbuat maksiat selama enam puluh tahun”
8. Para pemimpin adalah ibarat naungan Allah di muka bumi. Rakyat amat
berharap dapat berteduh dan merasa kebaikan dari kepimpinan mereka. Antara maksud
ucapan Abu Bakar al Siddiq sewaktu dilantik menjadi khalifah ialah:
“Wahai sekelian manusia, sesunguhnya aku telah dilantik memimpin kamu,
sedangkan aku bukannya orang yang terbaik dikalangan kamu. Sekiranya aku
berbuat baik, bantulah aku. Sekiranya aku salah betulkanlah aku. Benar itu
adalah amanah, dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah dikalangan kamu
sebenarnya adalah kuat bagiku sehingga aku mesti memulangkan haknya insya
Allah. Orang yang kuat dikalangan kamu adalah lemah bagi saya sehingga aku
boleh mengambil sesuatu yang hak darinya insya Allah. Tidaklah suatu kaum
meninggalkan jihad fi sabilillah melainkan mereka akan ditimpakan Allah dengan
kehinaan. Bala hanya akan menimpa suatu kaum apabila perbuatan keji berleluasa.
Taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan RasulNya. Sekiranya aku
menderhakai Allah dan RassulNya maka ketika itu tidaklah lagi wajib kamu
mentaatiku”.
Sufian al-Tsauri berkata:
“Kalaulah aku diberi peluang berdoa’ yang pasti makbul, aku akan mengambil peluang itu dengan mendoa’kan
kebaikan untuk sultan. Sebabnya jika sultan baik maka akan baiklah umat ini”
Imam Ahmad meriwayatkan hadis Nabi s.a.w. bermaksud:
“Dua golongan dari kalangan umatku. Jika keduanya baik maka
baiklah umat ini. Jika mereka rosak akan rosaklah umat ini. Mereka ialah Sultan
dan ulama’”
9. Ma’qal bin Yasar
meriwayatkan sabda Nabi s.a..w.:
ما مِن
والٍ يَلِي رَعِيَّةً مِنَ المُسْلِمِينَ، فَيَمُوتُ وهو غاشٌّ لهمْ، إلَّا
حَرَّمَ اللَّهُ عليه الجَنَّةَ
Setiap
pemimpin kaum Muslimin yang mati dalam
keadaan menipu rakyat, Allah haramkan dia dari memasuki syurga. (Riwayat al-Bukhari)
Penyumbang utama kepada kerosakan Negara ini adalah sebahagian para
pemimpin dan pegawai tinggi yang menipu rakyat. Mereka tiada integriti;
mengambil rasuah, melakukan kerja yang yang bertentangan dengan janji yang
diluahkan kepada rakyat, mengkhianati ikrar dan aku janji yang diberikan sewaktu
pelantikan. Kebanjiran pendatang tanpa izin, kawalan sempadan yang longgar,
pengurusan pendaftaran kewarganegaraan yang tidak telus dan sebagainya. Perkara
tersebut dilakukan oleh pemimpin dan pegawai atasan yang tidak berintegriti,
tidak takutkan Allah, tamakkan kemewahan duniawi dan tiada sifat adil. Mereka dengan angkuh kepada rakyat mempamerkan
kemewahan kediaman, kenderaan, pakaian, cara hidup, sedangkan gaji asas yang
diterima tidak seberapa, atau baru beberapa bulan memegang jawatan. Semua ini menjadi
pertanda kepada berlakunya penipuan sewaktu mereka menjalankan tugas.
10. Sebahagian besar pemimpin mencari dan mendapatkan kedudukan
tinggi didalam parti politik yang melayakkan mereka menguasai negera dengan
cara mengadu domba, memecahbelahkan kesatuan umat yang menjadi lawan parti
mereka, mewarwarkan keburukan dan keaiban lawan, bahkan mengupah kumpulan cybertrooper
bagi mencari peluang untuk memfitnah, memburuk-burukkan, mengaib dan seterusnya
menjatuhkan lawan yang seagama dan sebangsa dengan mereka, semata-mata memenuhi
nafsu cintakan kemewahan dunia dan gelaran dan sebagainya. Golongan ini jika
berjaya menjadi pemimpin pun layakkah mereka digolongkan sebagai pemimpin yang
adil. Ataukah bersama Firaun, Haman, Abu Lahab, Ubai bin Khalaf di neraka yang
Allah haramkan kepada mereka syurga.
Hanya Allah dan mereka sendiri yang boleh menilai keikhlasan dan
kejujuran mereka.
11. Sejak dari zaman Abu Bakar al-Siddiq
sehingga ke hari ini, hanya ada beberapa kerat pemimpin umat yang disenaraikan
oleh ulama’ dan cendikiawan Islam sebagai pemimpin dan khalifah yang adil. Mereka ialah Khulafa’ al-Rasyisin, Umar b.
Abdul Aziz, Harun al-Rasyid, Salahuddin al-Ayubi dan Muhammad al-Fatih. Puluhan
khalifah dan pemimpin yang lainnya jarang dibincangkan keadilan, kewarakan dan
kezuhudan mereka. Mereka yang disenaraikan mengutamakan kesusahan rakyat,
ibu-ibu tunggal yang melarat. Orang-orang tua yang tiada tempat pergantungan, dan
sebagainya lebih dari perhatian kepada kebajikan diri dan keluarga. Umar Ibn.
Al-Khattab sanggup menyebat sendiri anaknya yang bersalah. Beliau sanggup
memikul guni gandum dan memasakkan sendiri keperluan ibu tunggal dan anak
yatim. Umar bin Abdul Aziz sewaktu diminta menukarkan kelambu ka’bah yang
menjadi acara tahunan telah menolak. Beliau
berpendapat lebih baik peruntukan itu diberi kepada rakyat yang
kelaparan. Bagi beliau itu lebih penting dari mencantikkan ka’bah. Keadilan dan
keperihatinan mereka kepada rakyat adalah konsisten, bukannya setakat untuk
mengambil gambar lalu menularkannya atau hanya dalam musim pilihanraya sahaha.
12. Pada masa kini siapakah yang memikul tanggungjawab
utama memelihara agama, menyatu padukan ummah, mengembalikan wang-wang Negara
yang hilang dan tiris, menjaga kepentingan
rakyat yang susah dan melarat. Layakkah pemimpin-pemimpin politik Negara
yang pernah memegang kuasa dan amanah disenaraikan sebagai imam yang adil
sedangkan mereka berterusan mengadu domba, cantas mencantas, jatuh menjatuhkan
antara satu sama lain, berebut-rebut mengaut dan menyalahgunakan khazanah
Negara bagi kepentingan diri, keluarga
dan seterusnya membeli sokongan bagi mengekalkan kedudukan?
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ
وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
Ikhlas dari
ASAD BIN AWANG
Penulisan ini tidak ditujukan kepada individu tertentu. Ia adalah
muhasabah umum dan pandangan peribadi penulis semata-mata. Segala kesilapan
dipohon berbanyak maaf.
No comments:
Post a Comment