IBADAH
YANG PALING AFDHAL
1.
I Ibadah peribadi yang paling afdhal dilakukan ialah solat. Solat
lebih afdhal dari tilawah al-Quran, zikir, tasbih, takbir, doa’, tahlil dan
sebagainya. Sebabnya di dalam solat itu sedia terkandung tilawah al-Quran,
bahkan rukunnya ialah ayat yang terafdhal iaitu surah al-Fatihah. Demikian juga
di dalam rukun dan sunat solat terkandung takbir, tahmid, tasbih, tasyahhud,
selawat dan doa’. Selawat dalam sembahyang ialah selawat
Ibrahimiah yang merupakan bentuk selawat yang terafdhal. Malah kelebihan doa’
sahaja pun sudah dianggap sebagai otak
ibadah, apatah lagi doa yang dipinta di dalam solat. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan dari Nabi
s.a.w
. الدُّعَاءُ
مُخُّ الْعِبَادَة
Doa’
itu otak ibadat. Riwayat imam Tirmizi.
2.
Pahala membaca
al-Quran yang paling minimum ialah sepuluh pahala bagi setiap satu huruf yang
dibaca. Imam al-Ghazali menyatakan; pahala akan bertambah menjadi dua puluh
lima jika membaca al Quran dalam keadaan berwuduk. Lebih afdhal dari itu ialah
membaca al-Quran di dalam solat. Ganjaran membaca al-Quran di dalam solat
secara duduk ialah lima puluh manakala membaca al-Quran dalam solat berdiri
pula ialah seratus kali ganda bagi setiap huruf yang dibaca. Oleh itu panjangkanlah bacaan al-Quran sewaktu
mengerjakan solat secara bersendirian dan solat-solat sunat.
3.
Membaca
al-Quran di dalam solat lebih afdhal dengan cara hafazan bukannya dengan
melihat mushaf di hadapan, terutamanya bagi solat fardu. Sebab itulah afdhal
memilih imam yang alim, qari dan banyak menghafaz al-Quran. Janganlah melihat
al-Quran sewaktu solat fardu kecuali dalam keadaan darurat. Adapun bagi solat
sunat harus melihat mushaf. Bagi solat fardu, lebih afdhal membaca al-Quran
dari ayat-ayat yang mudah dan sudah dihafaz berbanding membaca yang ayat yang
panjang dengan melihat mushaf. Firman Allah dalam surah Muzammil ayat 20;
فَاقْرَءُوا
مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
Maka
bacalah yang mudah dari al-Quran
فَاقْرَءُوا
مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ ۚ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maka bacalah yang mudah darinya dan dirikanlan solat.
4.
Solat sunat
yang paling afdhal dipanjangkan bacaan al-Quran ialah solat sunat waktu malam.
Contohnya ialah solat Tahajjud dan solat Teraweh. Firman Allah dalam surah
al-Muzammil ayat 6:
إِنَّ
نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلًا
Sesungguhnya bangun diwaktu
malam adalah lebih tepat (untuk khusuk) dan bacaan diwaktu itu lebih berkesan.
Khuzaifah al-Yaman menyatakan bahawa beliau pernah mengikut Nabi
s.a.w. menunaikan sembahyang malam. Selepas membaca al-Fatihah baginda membaca
surah al-Baqarah sehingga akhir. Khuzaifah menyangka Baginda akan ruku’,
rupanya Baginda menyambung dengan surah Ali Imran sehingga akhir. Khuzaifah
sekali lagi menyangka Baginda akan ruku’, rupanya Baginda menyambung dengan
surah an-Nisa’ hingga akhir barulah Baginda ruku’ bagi rakaat yang pertama. Maksud hadis riwayat
Muslim.
5.
Imam
an-Nawawi menyatakan dalam kitab al Azkar bahawa, ramai orang-orang Salaf
mengkhatamkan bacaan al-Quran setiap minggu. Ramai juga yang mengkhatamkan
al-Quran tiga hari sekali. Ada yang mengkhatamkan sehari sekali. Ada yang
mengkhatamkan tiga kali sehari. Bahkan
ada yang mengkhatamkan al-Quran lapan kali sehari, empat kali siang dan empat
kali malam terutamanya bulan Ramadhan. Uthman bin Affan, Tamim ad-Dari dan dan
Said bin Jubair dikatakan mengkhatamkan al-Quran dalam satu rakaat solat
sahaja.
6.
Sempena
dengan bulan Ramadhan al Mubarak, bulan al-Quran dan bulan Kesabaran ini,
marilah kita sama-sama menumpukan akal minda dan usaha kita kepada menghayati
ajaran al-Quran, menjauhi prasangka buruk sesama Islam, mengusahakan kesatuan
umat agar rahmat Allah benar-benar melimpah kepada kita. Ramadhan, tilawah dan
puasa menjadi tidak bermakna jika kita terus dengan dendam mendendam, fitnah
memfitnah, menghantar mesej mengadu domba menghina dan membenci sesama Islam. Awas janganlah kita
jadikan puasa kita hanya menghasilkan lapar dan dahaga sahaja.
7.
Pahala
membaca al-Quran dalam solat boleh dimaksimumkan lagi jika solat itu di dirikan
di dalam masjid sewaktu beriktikaf pada malam-malam 10 terakhir bulan Ramadhan.
Marilah kita sama-sama membanyakkan doa’ agar Allah Taala menghapuskan Covid-19
dari Negara kita dan Negara umat Islam lain sempena ketibaan 10 terakhir bulan
Ramadhan ini. Dengan itu dapatlah kita beribadah dan beriktikaf di masjid
ketika itu.
8.
Pahala
membaca al-Quran juga akan terus meningkat jika pembaca al-Quran itu membaca
dengan tajwid, memahami pengertian ayat yang dibaca, menghayati dan
mempraktikkannya
Apabila masuk bulan Ramadhan dibuka pintu syurga, ditutup pintu
neraka dan dirantai syaitan-syaitan. Maksud Hadis
Salam Ramadhan dari saya.
Dato’ Ust. Hj. Asad bin Awang.
Semua penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. Sila beri
teguran jika terdapat kesilapan.
No comments:
Post a Comment