BERDAMAI DEMI MASADEPAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA
PRN 15 bagi 6 negeri sudah pun
berlalu. Tahniah diucapkan kepada calon-calon
yang menang. Bagi yang tewas, perlu menerima
hakikat kekalahan tersebut dan melakukan muhasabah diri dengan adil, rasional
dan tidak menyalahkan pihak lain.
Pengulas dan pengkritik pilihanraya
di media massa mengakui hakikat umum berikut; PN mencapai kemenangan besar dikawasan
ramai pengundi Melayu. DAP menang besar dikawasan majoriti pengundi Cina. PKR umumnya hanya menang dengan bantuan DAP
dan UMNO. Begitu juga dengan UMNO hanya menang dengan bantuan DAP dan PKR. Strategi PKR, UMNO dan AMANAH umumnya gagal memenangi hati pengundi Melayu.
Kemenangan besar PN di
Terengganu, Kelantan dan Kedah, disamping meraih banyak kerusi di Pulau Pinang,
Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan petanda kesatuan orang-orang Melayu
atau orang Islam amatlah baik. Keputusan juga menunjukkan bahawa kaum Cina
menampakkan kesatuan dan sokongan yang padu dan jitu kepada DAP, melebihi
sokongan orang Melayu kepada PN.
Prestasi parti UMNO dan PKR kelihatan merudum dan hanya terselamat dengan
sokongan kaum lain. Tanpa sokongan tersebut mereka mungkin kehilangan lebih
banyak kerusi. Untuk terus kekal dan relevan pada PRU ke 16 akan datang
kedua-dua parti ini, mesti berubah dan berani membuat keputusan besar.
Orang Melayu perlu mengambil
pelajaran dari PRN ini, bahawa kaum selain mereka sentiasa bersatu padu dan
bekerjasama bagi mengukuhkan kedudukan mereka. DAP meraih kemenangan besar
dengan mengambil kesempatan dari perpecahan dan krisis yang melanda parti-parti
orang Melayu. Semakin meruncing perpecahan orang Melayu semakin teguh kedudukan
mereka. Mereka juga berjaya memujuk ramai pemimpin Melayu menjayakan agenda
perjuangan mereka melalui tawaran kerjasama dan perkongsian yang pada hakikatnya
lebih menguntungkan parti tersebut berbanding
dengan perkara yang diberikan kepada UMNO PKR dan AMANAH.
Kerakusan, ketamakan kepada jawatan
dan kebimbangan kepada tindakan undang-undang dan mahkamah akibat jenayah
peribadi yang lalu menyebabkan individu tertentu dari UMNO umpamanya sanggup
menjadikan diri dan parti mereka diperalatkan untuk menjayakan agenda DAP.
Sebagai seorang Melayu dan menganut
Islam, saya menyeru agar kepimpinan parti orang Melayu, berhenti dari
berpandangan negative terhadap Islam. Berhentilah dari memomok-momok dan
memburukkan para ulama, tuan guru dan agamawan. Berhentilah dari meletakkan
lebel dan gelaran yang tidak baik kepada mereka. Hargailah jasa dan pengorbanan mereka. Berhentilah
dari menanamkan kecurigaan terhadap keupayaan ulama untuk memimpin umat, bangsa,
negara dan negeri. Berhentilah dari
mewarwarkan kesilapan ulama dan pemimpin Islam. Berhentilah dari menghukum ulama
dan pemimpin Melayu kerana kesilapan-kesilapan kecil yang lampau, sedangkan dalam masa yang sama
mereka memejamkan mata terhadap kesilapan dan keceluparan mulut rakan-rakan
mereka dari kaum lain, seolahnya kaum lain jauh lebih baik dari para ulama
sebangsa dan seagama. Berhentilah dari menyebarkan fitnah, saman menyaman
sesama bangsa dan agama dengan jumlah tuntutan ratusan juta ringgit yang tidak
masuk akal. Berhentilah dari menormalisasikan budaya berbohong dan memfitnah
dikhalayak ramai. Hadapilah perselisihan dan pertelingkahan dengan adab Islami,
bertolak ansur, saling memaafkan dan menutup keaiban orang lain.
Orang Melayu wajib bersatu
sesama sendiri sebelum bertindak menyatukan kaum lain. Saf dan barisan umat Islam
mesti diperkemaskan terlebih dahulu sebelum bergerak ke medan memimpin rakyat
Malaysia pelbagai kaum ini. Ibarat pelumba kereta mesti memastikan semua
komponen jentera dan kenderaannya utuh dan selamat sebelum keluar menyertai
perlumbaan.
Malaysia menghadapi krisis ekonomi
yang teruk; kejatuhan ringgit, hutang negara mencecah 1.5 trillion ringgit, keyakinan
pelabur asing yang menurun, politik yang tidak stabil, kebanjiran pendatangI
tanpa izin, korupsi, tadbir urus yang lemah dan lain-lain.
Membentuk kesatuan umat Islam
yang teguh, memimpin negara pelbagai bangsa dan keturunan dengan adil, saksama,
aman, harmoni dan makmur bukanlah suatu yang mustahil untuk direalisasikan. Ia boleh dicapai dengan bertunjangkan keimanan,
petunjuk Quran dan Sunnah, serta keikhlasan. Prinsip fikah: menjaga maslahat umum lebih utama berbanding kepentigan
diri sendiri mesti diguna pakai. Sebaliknya sikap ego dan mengutamakan
kepentingan diri sendiri mesti dijauhi.
Pucuk pimpinan PAS, PKR, UMNO
dan AMANAH bertanggungjawab untuk bersemuka dimeja rundingan, menghulur tangan
tanda perdamaian dan seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan yang lebih teguh
dan stabil.
Firman Allah bermaksud:
“Jika dua puak daripada
orang-orang yang beriman berkelahi atau berperang, maka
damaikanlah di antara dua puak
itu.” Al-Hujurat ayat 9.
Firman Allah:
“Jika pihak musuh cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah juga
(wahai Muhammad) kepada perdamaian itu dan bertawakkallah kepada Allah”
Al-Anfal ayat 61.
Tsauban radhiallahu anhu meriwayatkan sabda Nabi s.a..w:
“Hampirlah kamu dikerumuni musuh laksana makanan dikerumuni oleh orang
yang hendak memakannya. Ada yang bertanya: Adakah kerana bilangan kami sedikit
ketika itu ya RasulalLah?. Sabda baginda: Bahkan bilangan kamu ketika itu
ramai, tetapi kamu laksana buih ketika banjir. Allah pasti mencabut dari dada
musuh kamu rasa gerun terhadap kamu. Allah juga pasti mencampakkan kehati kamu
penyakit wahan. Ada yang bertanya: Apa itu wahan ya RasulalLah?. Sabda baginda:
Iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.”
Riwayat Abu Daud dan Ahmad.
Menolak perdamaian, meneruskan pertentangan, mengutamakan
kepentingan diri atau parti sendiri mengatasi kepentingan Islam dan kepentingan
umum akan membawa kepada; kegagalan melaksanakan agenda memperkukuhkan Syariat,
umat dan perundangan Islam. Memburukkan keadaan ekonomi, politik dan social. Memungkinkan UMNO, PKR dan AMANAH menjadi semakin
tidak relevan. Hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan semakin dicabuli. Imej Islam
dimata bukan Islam semakin tercalar dan lain-lain.
Sesungguhnya sikap ego serta
angkuh para pemimpin sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Rakyat tidak selamanya boleh ditipu atau digula-gulakan.
Mereka akan menghukum pemimpin yang korup, angkuh dan sombong melalui undi
pilihanraya. Perubahan perlu dibuat bagi
memenangi hati umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya sebelum PRU ke
16 menjelang.
No comments:
Post a Comment