Sunday 11 April 2021

ANTARA TOLONG MENOLONG DENGAN ASABIAH

 

ANTARA TOLONG MENOLONG DENGAN ASABIAH


1.            Antara amalan terpuji yang dianjurkan oleh Islam ialah tolong menolong dan bekerjasama melakukan kebaikan. Contohnya ialah melakukan gotong royong atau bekerjasama membina rumah untuk; orang miskin, OKU, warga emas, rumah ibadah, jambatan dan lain-lain. Demikian juga bekerjasama menyediakan makanan berbuka puasa untuk fakir miskin, golongan gelandangan, pelajar dan jamaah di masjid dan orang-orang yang berpuasa amnya.  Tolong menolong itu merangkumi dengan tenaga, kewangan, kemahiran, bimbingan, khidmat nasihat dan sebagainya. Firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa. (al Maidah 2)

 

 

2.          Tolong menolong juga meliputi tolong menolong dan memberi kerjasama: menghapuskan, membasmi atau menyekat kemungkaran dari berlaku atau berleluasa. Semakin besar impak tolong menolong tersebut, semakin besarlah pahala yang bakal diraih oleh orang yang memberi pertolongan dan kerjasama tersebut . Maksud impak yang besar ialah faedah dan kesan pertolongan tersebut dapat dirasai oleh ramai orang bagi tempoh yang panjang. Contohnya ialah membantu polis atau penguatkuasa membenteras jenayah atau syndicate pemalsuan kad pengenalan palsu, sijil kelahiran palsu, penyeludupan dadah, barang makanan haram, pemerdagangan manusia, peras ugut, skema dan sebagainya yang boleh mengancam keselamatan negara atau menggugat ketenteraman awam. Orang ramai terutamanya masyarakat Islam hendaklah membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat yang sahih agar kegiatan haram berkenaan dapat dibenteras. Tindakan seperti ini termasuk dalam amal salih yang mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah. Ia termasuk dalam kata bekerjasama mencegah kemungkaran.

 

3.          Islam menyarankan agar tolong menolong dan bekerjasama itu dimulai dengan keluarga terdekat dan mempunyai hubungan silatul Rahim. Begitu juga, dimulai dengan membantu dan berbaik dengan jiran terdekat dan seterusnya sesama saudara Muslim. Anjuran ini berasaskan firman Allah :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan dan memberi bantuan kepada kerabat… An Nakhli 90.    

وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ

Dan jiran yang dekat dan jiran yang jauh, dan rakan sejawat… an-Nisa’ 36

 

Adalah tidak kena dan tidak bersesuaian dengan tuntutan fiqh Aulawiyyat sekiranya seseorang itu boleh bekerjasama dan bertolong bantu dengan orang lain yang tiada hubungan kekeluargaan, sedangkan ia tidak berbuat baik kepada ibubapa, keluarga terdekat dan jiran tetangga.

4.      Antara perkara yang dilarang dalam Islam ialah  menanam dan menyuburkan semangat “Asabiyyah”. Ibn Manzur menyebut dalam Lisan al-Arab 1/606 : Asabiyyah itu ialah; Mengajak agar membela dan menolong keluarga atau kelompok sendiri,  tanpa mengira sama ada keluarganya atau puaknya itu melakukan kezaliman atau dizalimiRiwayat menyebut: Anak perempuan Wathilah bin al-Asqa’berkata; Ia mendengar bapanya berkata: Aku bertanya: “Ya RasulalLah: Apakah dia asabiah itu?” . Sabda Baginda:

أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ ‏"‏ 

Maksudnya : Bahawa kamu menolong kaummu melakukan kezaliman.

Riwayat Abu Daud dan Nasaie

 

Menolong atau mempertahankan; keluarga, puak sendiri, bangsa sendiri atau pemimpin organisasi sendiri melakukan kezaliman kepada orang lain adalah termasuk dalam tafsiran asabiyyah terkutuk. Mengambil hak orang lain secara tidak halal dan diberikan kepada keluarga, kaum, ahli kumpulan, ahli parti sendiri adalah asabiyyah. Melepaskan, atau membantu melepaskan penjenayah dari keluarga, puak, ahli kumpulan atau ahli parti sendiri yang disabitkan kesalahan jenayah, adalah asabiyyah. Menolong penjenayah, pesalah atau puak yang zalim agar terus melakukan kejahatan berkenaan adalah Asabiyyah. Asabiah adalah amalan Jahiliyyah yang dituntut oleh Islam agar dihapuskan. Oleh itu orang-orang yang memegang amanah sebagai pemimpin, anggota kerajaan,  pegawai kerajaan dan sebagainya hendaklah segera menghentikan kerja terkutuk; seperti menolong, melepaskan atau melindungi pesalah dan penjenayah dari kumpulan mereka atau mana-mana kumpulan yang mereka ada kepentingan, sekiranya mereka pernah melakukannya. Asabiyyah adalah amalan jahiliyyah yang mesti dihapuskan. Firman Allah:

إِذْ جَعَلَ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ

             Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka suatu kesombongan, iaitu

               kesombongan Jahiliah   Surah al-Fath ayat 26.

               Perkataan “Hamiyyah al-Jahiliyyah” di atas merangkumi makna “Asabiyyah” ciri kesombo-

               ngan masyarakat Jahiliah yang tidak mahu tunduk kepada kebenaran. Semangat keji itu 

               perlu dikikis dan dihapuskan agar keadilan dan ehsan dapat ditegakkan.

              

 

5.       Dalam konteks;  berpersatuan, parti politik, jamaah dan hidup dalam komuniti, amatlah baik dan digalakkan menjalin hubungan akrab melalui permuafakatan, tolong menolong, tolak ansur, bekerjasama memperkukuhkan organisasi masing-masing sebelum melangkau kepada kumpulan lain. Untuk menjamin penglibatan dan tolong menolog itu menjadi ibadat dan mencapai keredaan Allah seseorang hendaklah memenuhi syarat berikut:

a)      Niat yang ikhlas kerana Allah dan mencapai redhanya.

b)      Selaras dengan kehendak syarak atau tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

c)      Tidak melakukan kezaliman kepada kumpulan lain meskipun mereka golongan yang kafir.

d)      Tidak merendah-rendahkan kumpulan atau puak lain yang tidak sependapat dengan mereka selama mana mereka berpegang dengan dasar Islam atau perkara yang disepakati para ulama. Mereka hendaklah berlapang dada, bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain dalam perkara khilafiah.

 

Abu Musa al-Asyaari meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا

Hubungan seorang Mukmin dengan seorang Mukmin lain adalah laksana binaan yang saling kukuh mengukuhkan antara satu sama lain. Riwayat al Bukhari dan Muslim.

6.       Kesimpulannya:

a)      Islam menganjurkan umatnya menyuburkan sikap kerjasama dan bertolong bantu dalam perkara kebaikan.

b)      Masyarakat Islam hendaklah membantu pihak berkuasa membasmi dan membentras kegiatan jenayah, maksiat  dan kemungkaran.

c)       Mulakan tolong menolong serta kerjasama dalam keluarga, tetangga, masyarakat dan negara.

d)      Islam menganjurkan supaya dihapuskan semangat asabiyyah iaitu berkompromi dengan puak sendiri melakukan kezaliman kepada golongan lain.

e)      Kerjasama dan tolong menolong menjadi sebahagian dari ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan tidak berlawanan dengan kehendak syarak.

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN