Saturday 15 May 2021

HIMPUNAN PANTUN

 

HIMPUNAN PANTUN


PANTUN HARI GURU

KUCING BELANG MENGEJAR ITIK

ITIK BERLARI TERBURU-BURU

KEPADA SEMUA WARGA PENDIDIK

DIUCAPKAN SELAMAT HARI GURU

 

 

EMAS DISIMPAN DI DALAM  PETI

PETI DI TARUH DALAM KERETA

JASA GURU MESTI DI INGATI

TANPA MEREKA SIAPALAH KITA

 

TAMPAN SUNGGUH PAHLAWAN BENTAN

MEMBAWA PANAH PERGI BERBURU

WALAU PROFESSOR, MENTERI DAN SULTAN

MULANYA DENGAN DIDIKAN GURU

 

BUNGA ANGGERIK DI DALAM TAMAN

TAMAN INDAH DI GUNUNG TAHAN

NASIHAT GURU AMBILLAH PEDOMAN

MEREKA MULIA DISISI TUHAN

 

NELAYAN TUA MENJALA IKAN

IKAN DILEPAS DI DALAM KOLAM

KEPERLUAN GURU PERLU DITUNAIKAN

TANPA MEREKA ROSAKLAH ALAM

 

NASIHAT UNTUK PEMIMPIN

 

PANTUN NASIHAT UNTUK PEMIMPIN

DARI TANGKAK PERGI KE TAMPIN

SINGGAH SEBENTAR DI BATU PAHAT

ROSAK RAKYAT KERANA PEMIMPIN

ROSAK PEMIMPIN KERANA PENASIHAT

 

KALAU MAKAN PELAM COKANAN

JANGAN DIMAKAN BERSAMA HALWA

ULAMA, CENDIKIAWAN MESTI BERPERANAN

MENASIHATKAN PEMIMPIN AGAR BERTAKWA

 

ARTIS MENARI TARIAN ZAPIN

BUAT PERSEMBAHAN DI NEGERI SABAH

ULAMA, CENDIKIAWAN DAN PEMIMPIN

TONGGAK UTAMA BALDATUN TAIYIBAH

 

PANTUN SIKAP MELAYU

 

Baju Melayu segak menawan.

Baju kebaya atas ampaian

Wahai pemimpin, ulama, cendikiawan.

Usahlah berbalah carilah penyelesaian.

 

Pak Uda kerja petani

Mengangkut padi dengan lori

Bangsa sendiri tunjuk berani

Bangsa lain I am sorry

 

Panas suria sinaran terserlah

Langit gelap ditutup mega

Pemimpin, cendikiawan asyik berbalah

Zeonist datang baru terpinga.

 

Ke Kuala Lumpur membeli mesin

Mesin dibuat dari tembaga

Wahai bangsaku terimalah vaksin.

Habbatus sauda’ ambillah juga.

 

 

Lebai Kasim kuat berpuasa

Makan sahur berlauk gelama

Kuat Melayu, majulah bangsa

Lemah Melayu, punahlah agama.

 

 

Salam hormat dari saya

Dato’ Hj. As’ad bin Awang

Tambun Ipoh

26 Mei. 2021

 

PANTUN AIDIL FITRI 2021

 

Pak Ali menempah parang

Parang ditempah di Tambunan

Kita kini sedang berperang,

Covid 19 musuh halimunan

 

Orang tua naik perahu.

Naik perahu membawa jamu

Sebak di hati Allah yang tahu,

Boleh beraya tak boleh bertamu

 

Pergi ke laut mengail tenggiri

Pergi ke sungai mengail patin

Mesej dihantar pengganti diri,

Mohon maaf zahir dan batin

 

Tuan Imam pergi kenduri

Sambil lalu di atas titi

Ucapan dikirim pengganti diri,

Tanda ingatan sentiasa dihati

 

Orang asli menanam buluh

Lepas menanam memikat tekukur

Biar orang asyik mengeluh

Mari kita banyak bersyukur

 

Membeli kain buat hantaran

Kain dibeli dari Pekan

Puasa itu menguji kesabaran

Mengawal lidah, jari dan pergerakan.

 

 

 

Manis sungguh buah semangka

Jangan dirasa waktu berpuasa

Sesama muslim berbaik sangka

Meski berbeza parti dan bangsa

 

Hadapan rumah tanam Akasia

Belakang rumah tanam Tin.

Walau susah kita di Malaysia

Susah lagi orang di Palestin.

 

Mencari rotan di kaki gunung

Di kaki gunung bertemu kancil

Syukurlah nikmat yang menggunung

Berbanding kesusahan yang kecil

COVID-19 DAN TAKWA

Kalau membeli bunga Kantan

Belilah sama asam Jawa

Covid melanda tanda peringatan

Suruh kita kembali bertakwa

 

 

Ayam katik sedang mengeram

Mengeram di bawah pokok kekwa

Buat yang fardu tinggal yang haram

Itulah sifat orang bertakwa

 

Ke Pulau Tioman mengail ikan

Ikan dijual di Seberang Takir

Amalan sunat jangan diabaikan

Baca al-Quran banyakkan zikir.

 

Hebat tentera siap siaga

Kuat berlari seperti  kuda

Meski lapar,  rugi berniaga,

Sabar berdoa, mencela tiada.

 

Budak kecil main buaian

Datang ibu tolong hayunkan

Covid-19 satu ujian

Dengan bertakwa Allah angkatkan

 

Salam Aidil Fitri dari saya

Dato’ Hj. As’ad bin Awang

Tambun Ipoh


SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN 1443H

 

Naik kereta pergi  Segamat

Membeli ragi serta halia

Syukur kita diberi rahmat

Menyambut lagi Ramadan mulia.

 

 

Manis delima bila dirasa

Pahit hempedu dimakan jangan

Amalan utama bulan puasa

Sempunakan fardu, jauhi larangan

 

 

Beli madu di kedai Pak Majid

Jumpa rakan salam ucapkan

Solat fardu kerjakan di masjid

Sunat Rawatib jangan abaikan

 

 

Memburu rusa tersepak lokan

Mengail sepat dalam telaga

Kualiti puasa kita utamakan

Agar tak dapat lapar dahaga

 

 

Salam hormat dari saya

Dato’ Hj. Asad bin Awang

Tambun Ipoh.

2 Ramadan 1443 H

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN