PERDAMAIAN LWN
PERSETERUAN
1)
Islam agama kesatuan. Menyeru kepada persaudaraan, pembentukan umat
yang kuat dan teguh. Kukuhnya persaudaraan Islam diumpamakan seperti satu jasad
yang jika satu anggota sakit, anggota lain pun tidak dapat tidur dengan selesa.
Cubit peha kiri, peha kanan pun terasa. Persaudaraan laksana sebuah bangunan
yang berdiri megah. Setiap bahagian saling mengukuhkan bahagian yang lain.
Allah mengurniakan surah Saff yang bermaksud satu barisan. Surah yang menggesa
seluruh Umat Islam agar berada dalam satu barisan sahaja sewaktu menghadapi musuh yang berusaha menghancurkan
Islam. Bersatu teguh, bercerai roboh. Bersatu dan bermuafakat dalam kalangan
umat Islam merupakan senjata utama yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam
bahkan merupakan rukun utama mencapai kemenangan.
2)
Islam amat membenci dan
melarang perpecahan dalam kalangan Umat Islam. Banyak ayat al Quran dan Hadis
Nabi s.a.w. yang menggesa agar didamaikan pergaduhan suami isteri, didamaikan
pergaduhan dan pertelingkahan puak-puak dalam kalangan orang Islam.
“Tegakkanlah
agama dan jangan berpecah belah didalamnya”
Maksud surah al Syura ayat 13.
"Dan jika
kamu takut khuatir berlaku persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang
jurudamai dari keluarga lelaki dan seorang jurudamai dari keluarga perempuan”
Maksud an-Nisa’ ayat 35
“Dan jika ada dua golongan orang Islam
Mukmin yang berperang maka damaikanlah antara keduanya” Maksud Surah
al-Hujurat ayat 9.
3)
Mengajak agar bersatu dan berpegang
teguh dengan tali Allah merupakan usaha yang amat baik dan mulia. Orang yang
menjalankan usaha mendamai, merapatkan dan memperbaiki hubungan dua puak Islam
yang bersengketa amat mulia dan terpuji. Usaha itu lebih mulia dan lebih baik
dari ibadat solat, puasa dan bersedekah.
Abu Darda’ meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.
ألا أخبركم بأفضل من درجة الصلاة والصيام
والصدقة ؟ قالوا بلى ..قال إصلاح ذات البين . وفساد ذات البين هي الحالقة » أخرجه
أحمد والترمذي وأبو داوود
Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih
baik dari sembahyang, puasa dan sedekah? Sahabat menjawab: Sudah tentu. Sabda
Baginda: Memperbaiki hubungan (mendamaikan yang berkelahi) Dan merosakkan
hubungan pula adalah pencukur (penghapus kebaikan)
Allah berfirman maksudnya:
“Maka bertakwalah kepada Allah
dan perbaikilah hubungan sesama kamu”
Maksud surah al-Anfal ayat 1.
4.
Orang Melayu
dan umat Islam Malaysia sedang dilanda perpecahan yang amat serius. Perebutan
kuasa berlaku dalam kalangan pemimpin mereka. Ada yang menabur fitnah, mewarwarkan
keburukan satu sama lain, mengadu domba agar orang Melayu atau umat Islam tidak
dapat bersatu. Ada yang meludah ke langit memburukkan bangsa dan kaum sendiri
dengan gelaran; bacul, bodoh, malas dan sebagainya. Ada yang khuatir bersatunya
umat Islam negara ini akan mengancam kelangsungan parti dan karier politik
mereka. Rezeki dan kekayaan mereka diperolehi melalui pecah-belah umat ini.
Bukti paling jelas ialah sejak Merdeka hingga kini, tahun 2020 merupakan tahun perpecahan parti politik
orang Melayu yang paling parah dalam sejarah negara. Bilangan parti politik
orang Melayu paling banyak masa kini. Kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri
bertukar berganti. Perpecahan ini tentunya mengancam maslahat Agama Islam dan
Umat Islam.
5.
Penulis
berpandangan, usaha yang paling utama dan dituntut oleh Islam kini ialah
mendamaikan puak-puak yang bertelagah. Manakala perbuatan paling keji dan jijik
ialah memecahbelah dan menghalang kesatuan umat. Penyakit dan punca utama
kelemahan umat dan negara-negara Islam kini ialah perpecahan, perebutan kuasa,
gila pangkat dan kedudukan. Rawatan yang diperlukan ialah seruan kepada
perdamaian, berprasangka baik dan tazkiyyatun nafs atau penyucian jiwa.
Penyakit yang melanda umat Islam kini sama dengan yang telah menimpa masyarakat
Arab Jahiliah, Bani Umaiyyah, Abbasiah, Othmaniah hingga kini.
6.
Pengetahuan dan
kemahiran yang amat diperlukan masa kini ialah ilmu yang berkaitan dengan
penyucian hati dan jiwa pemimpin yang kotor. Ilmu dan kemahiran untuk
mendamaikan puak-puak Islam yang bertelagah. Meskipun ilmu Tauhid, Hadis,
Tafsir, Fiqh, Ulum Quran dan sebagainya penting dan dirangking pertama suatu
ketika dulu, tetapi dalam keadaan darurat politik hari ini pembersihan jiwa dan
penyingkiran sifat cintakan dunia dan kemegahanlah yang perlu didahulukan.
7. Bertugas mendamai dan menyatukan pertelagahan pemimpin pada saat
kritikal ini, hukumnya fardu Kifayah. Namun ianya tidak pernah berhasil atau
menampakkan hasil yang positif. Oleh itu andainya perpecahan dan perseteruan
ini dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan Islam dan umat Islam terancam,
maka semua ulama’, ilmuan Islam, para pemimpin dan orang Islam yang berdiam
diri berdosa dan bertanggungjawab.
8. Intipati surah an Nisa’ ayat 35 menuntut agar pendamai terdiri dari
wakil pihak yang bertelagah. Pendamai hendaklah merupakan orang yang disegani,
dihormati, berpengetahuan dan mahir
melakukan usaha perdamaian. Dalam konteks krisis politik pemimpin Melayu
Malaysia, tokoh-tokoh ulama’, akademik, perundangan, negarawan dan sebagainya
yang disegani pihak yang bertelagah perlu berdiri dan bertindak di barisan
hadapan menyempurnakan tuntutan fardu kifayah tersebut.
9.
Sahl bin Saad
meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. kepada Ali b. Abi Talib yang bermaksud:
“Andainya
Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki melalui usaha engkau, itu adalah
lebih baik dari mendapat seekor unta merah.” Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ganjaran dapat
mengislamkan seorang insan biasa pun sudah cukup besar, apatah lagi dapat
memperbaiki akhlak dan tindakan seorang pemimpin negara yang korup dan zalim.
Infaknya amatlah besar, lebih besar dari peranan seorang Professor, Saintis,
Kiyai dan sebagainya. Dengan usahanya pentadbiran sebuah negara berubah.
10.
Dalam
keadaan perpecahan yang parah ini, tidak sepatutnya kedengaran suara agamawan yang
membesar-besarkan perkara remeh temeh atau khilafiah. Perkara yang dibangkitkan
itu setengahnya sudahpun dimuktamadkan oleh ulama rantau ini. Membuka semula pintu
perdebatan isu-isu tertentu menyebabkan perselisihan semakin ketara. Contohnya
ialah; membincangkan semula ayat Mutasyabihat berkaitan istiwa’, tangan, muka
dan mata dengan makna hakiki. Bertegas
mengkategorikan masalah khilafiah sebagai bid’ah sesat, seperti sambutan Maulid
Nabi s.a.w., membaca Yasin malam Jumaat, tahlil, talqin dan doa arwah. Membincangkan semula perkara tersebut dalam
media sosial, meskipun disokong dengan hujjah, ibarat memberi ubat yang yang
tidak berkaitan dengan penyakit utama pesakit. Masalah utama yang dihadapi
sekarang ialah masalah kesatuan. Masalah hati dan jiwa yang kotor. Masalah keangkuhan,
gila kuasa, gila dunia dan kemegahan. Penyakit utama ini membawa kepada
terancamnya Islam dan survival umat Islam.
12. Para ulama’ dari disiplin Fikah, Tawhid, Hadis, Tafsir atau
sebagainya tidak sepatutnya mengangkat diri sendiri sebagai juara dalam bidang
ilmu, paling utama dan mulia. Orang yang paling utama dan mulia ialah yang
berusaha dengan ikhlas dan mampu mengislah masyarakat yang rosak dan porak
poranda. Ia mampu mendamaikan dan menyatukan kembali perpecahan yang parah ini.
Menyatukan dan merapatkan saf sehingga menjadi satu jasad atau sebuah bangunan
yang teguh.
13. Ilmu itu laksana ubat. Meskipun
baik, berkualiti dan mahal, ia menjadi tidak berguna, bahkan berbahaya dan
memudaratkan jika diberikan kepada pesakit yang tidak berkaitan. Para ulama’
adalah laksana doktor yang memilih dan menentukan ubat yang sesuai untuk
pesakit. al-A’masy menyebut:
“Penyakit ilmu itu lupa.
Dan sia-sialah jika kamu mengajar ilmu itu kepada yang bukan ahlinya”
Maksud Hadis Mursal riwayat al-Darami
14. Penulis mengajak pemimpin dan para agamawan, terutamanya yang
dihormati dan disegani agar berperanan sebagai pendamai dan muslihin yang dapat
meredakan perpecahan yang sedang berlaku. Pemimpin dan ulama’ menjadi contoh
kepada orang ramai. Kebaikan dan keburukan mereka memberi impak yang amat besar
kepada kesejahteraan umat seluruhnya. Jauhilah sifat orang gila yang menuding
jari mengatakan orang lainlah yang gila. Imam Jalaluddin al Sayuti meriwayatkan
dari Ibni Abbas sabda Nabi s.a.w.:
صنفان
من الناس, اذا صلحا صلح الناس, واذا فسدا فسد الناس: العلماء والامراء
“ Dua golongan dari
kalangan manusia jika mereka baik, maka baiklah orang ramai. Jika mereka rosak,
maka orang ramai turut rosak. Iaitu, ulama’ dan umarak.”
Salam hormat
dari saya
Dato’ Asad bin
Awang
Penulisan ini
tidak berkaitan dengan individu tertentu. Segala kesilapan mohon
Diperbetulkan.
No comments:
Post a Comment