Thursday, 7 May 2020

Seruan Agar Bersatu Padu


SERUAN AGAR BERSATU PADU


Satu daripada ayat al Quran yang mudah dan difahami oleh kebanyakan orang Islam, baik ulamak, pemimpin hinggakan orang awam bawahan sekalipun ialah surah al Hujurat ayat 10.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 
Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlan antara kedua saudaramu, dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu dilimpahi rahmat
Orang mukmin itu satu rumpun yang tidak boleh dipecahbelahkan. Mereka diikat dan dianyam dengan tali iman. Tidak harus ada sesama mereka permusuhan, dendam kesumat, adu domba apatah lagi jatuh menjatuhkan, fitnah memfitnah, perkelahian, pembunuhan atau peperangan. Ukhuwah hanya sesama Islam sahaja. Adapun antara  orang Islam dengan bukan Islam mungkin sesuai digunakan perkataan muhibbah, perpaduan, hubungan baik dan sebagainya. Jalinan ukhuwah itu lebih kuat dari hubungan nasab keturunan. Alasannya ialah hubungan nasab menjadi tidak bermakna  jika hubungan ukhuwwah Islamiah putus. Tidak halal bagi seorang muslim bergaduh dengan saudaranya lebih dari tiga hari.
Allah memerintahkan agar dibuat usaha mendamaikan dan mengembalikan dua golongan orang Islam yang berselisih, berpecah, berbalah, berkelahi atau berperang kembali kepada satu rumpun ukhuwah atau satu saf seperti satu bangunan yang teguh atau satu jasad yang tampan yang mana satu anggota berhubungan dengan organ yang lain.
Allah memerintahkan setiap Mukmin bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Dengan beriman, bertakwa, berukhuwah dan menjalankan usaha perdamaian antara puak Muslimin yang bertelagah maka rahmat Allah akan melimpahi mereka. Mereka akan mendapat Jannah, mencapai keredaanNya, bahkan akan menjadi Ummat Wasata, iaitu umat contoh, umat ikutan yang memimpin.
Pembaca yang terdiri dari pemimpin parti politik, pemimpin masyarakat, ulama, pensyarah, guru agama dan para cendekiawan mungkin lebih arif dan petah dari saya dalam mentafsirkan ayat di atas menurut sejarah penurunannya. Namun demikian dengan rendah diri saya menyeru agar kita sama-sama menuju kearah pelaksanaanya bukannya setakat terhenti dibibir dan kuliah sahaja. Marilah kita:
1)      Sempena ketibaan bulan Ramadhan ini meleburkan sikap ego, dendam peribadi dan kepartian, menghentikan fitnah sesama Muslimin, menghentikan adu domba antara parti politik baik Umno, Pas, Amanah, Peribumi Bersatu dan sebagainya.  Hentikanlah sifat keji itu jika benar kita beriman dengan ayat yang di atas. Sila rujuk ayat 11 surah al Hujurat. Jika kita tidak dapat menghentikan sifat tercela ini puasa Ramadhan kita hanyalah berlapar dan dahaga sahaja.

2)      Parti Umno, Pas, Amanah dan Bersatu dan yang sewaktu dengannya adalah didokong oleh orang-orang Islam. Hampir keseluruhan pengikutnya adalah orang Islam. Ia adalah aset Islam yang amat bernilai yang jika bersatu padu pasti dapat membentuk sebuah kesatuan yang teguh dan dapat memimpin Malaysia ke arah kegemilangan masa depan, menjamin masa depan Islam dan anak cucu kita akan datang. Jika kekuatan diabaikan atau disalahgunakan bala bencana akan menimpa kita atau anak cucu kita.

3)      Jika kaum Muslimin yang terdiri dari pengikut parti-parti politik di atas bersatu, Islam akan teguh dan berdaulat. Apabila Islam memimpin bukan sahaja orang Islam terjamin masa depan, bahkan orang bukan Islam di Malaysia boleh hidup aman damai kerana pemerintahan Islam menjamin keselamatan hak bukan Islam dan tidak pernah berlaku dalam sejarah kegemilangan Islam orang bukan Islam dizalimi. Rujuk surah al Saff ayat 4.

4)      Awas jangan lupa atau alpa walau sesaat pun, bahawa orang-orang Islam dibawah penguasaan bukan Islam seperti di Negara India, Myanmar, Cina, Palestin, Israel dan lain-lain ditindas dan dizalimi. Mereka kehilangan hak asasi walaupun mereka penduduk asal di situ. Kesudahannya mereka menjadi pelarian dan menyerahkan bumi kelahiran mereka kepada pemimpin bukan penguasa yang zalim.

5)      Sewaktu wabak Covid-19 melanda dunia, Malaysia tersohor di mata dunia apabila berjaya mengekang penularan wabak berkenaan. Frontliners Malaysia majoritinya adalah orang Islam. Tidak timbul masalah rasis, bahkan orang Islam Malaysia lebih cekap mengendalikan masalah ini berbanding Negara yang mendakwa maju seperti Amerika, Britain, Itali, Cina, Prancis dan lain-lain. Yakinlah dengan kemampuan Islam. Yakinlah Allah bersama Islam.
Sehingga kini Negara yang teruk terjejas  ialah Negara bukan Islam, negara kuasa besar yang angkuh dan menzalimi orang Islam. Berbanggalah kita dengan Islam dan kuatkanlah keyakinan dan pegangan kita dengan Islam. Rujuk akhir ayat 8 surah al Munafiqun yang mana Allah menjanjikan kemuliaan kepada orang yang beriman.
Orang Islam boleh.

6)      Jika ada juga dihati para pemimpin tertentu masakini baik untuk mengambil peluang menjatuhkan  kerajaan yang sedia ada ini, maka saya orang bawahan yang tiada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik berpandangan sekarang tidak sesuai melakukan perkara tersebut. Tidak sesuai kerana kita sedang bergelut dengan covid-19. Jika percubaan itu gagal pun, fokus kerajaan memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi akan hilang dan tergangu. Akibatnya semua pihak akan menderita dan sengsara. Yang nak menjatuhkan akan berputih mata. Jika berjayapun ia tidak akan mampu membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Jika kerajaan dahulu pun jatuh kerana perebutan kuasa sesama sendiri, inikan pula ingin membentuk kerajaan dikala wabak Covid-19 sedang berlaku, dan dikala ekonomi lumpuh. Kesannya wabak akan menjadi dahsyat dan menggerunkan, ekonomi menjadi semakin parah. Solat berjemaah, ziarah menziarahi, kuliah agama, persekolahan, kuliah di universiti dan amalan-amalan Islam akan terus tertangguh. Jika ingin juga jatuhkan kerajaan ini, tunggulah hingga pilihanraya akan datang, atau tunggulah setelah Covid-19 ditangani sepenuhnya.

7)      Saya menyeru agar kita bertindak seperti lebah mencari madu dan bunga yang harum, melihat yang baik dan positif pada rakan seagama kita. Akuilah kebaikan musuh politik kita. Janganlah kita menjadi lalat, menyebarkan penyakit dengki, balas dendam, khianat, mengadu domba dan fokus pada yang perkara negatif yang ada pada saudara seagama kita., dalam masa yang sama pula kita mengajak berpandangan positif kepada musuh Islam yang termaktub dalam al-Quran ingin menjahanamkan Islam dan umat Islam.  Sila rujuk surah al Mumtahanah ayat 1. Jika sikap lalat ini diteruskan oleh pimpinan dan pendokong mana-mana parti baik Amanah, Umno, Pas, PKR  dan Bersatu bererti mereka menempuh perjalanan yang sama yang telah dilalui oleh pemimpin yang gagal, yang telah menjerumuskan umat Islam kekancah kehinaan dan kebinasaan. Sewaktu hidup mereka disanjung. Selepas mati atau hilang kuasa mereka dihina dan dikeji ibarat si Kitol, ibarat talibarut penjajah dan musuh Islam.

8)      Kepada pemimpin Pas, Umno dan Bersatu yang memerintah, buanglah sikap serakah, ego, gila kuasa, ingin popular, gila wang dan sebagainya. Jangan ulangi kesilapan lama nanti natijahnya juga sama iaitu kejatuhan dan kehinaan. Patuhilah  undang-undang, jangan alpa dengan membuat atau terbuat kerja bodoh kerana musuh sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan anda. Ibarat pelanduk lupa jerat sedangkan jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Contoh kerja bodoh itu terlalu banyak seperti melanggar peraturan PKP dengan sangkaan tidak apa kerana ia YB. Sembunyikanlah kelemahan kecil anda kerana musuh akan melihatnya dengan kanta pembesar. Janganlah berasa kita sahaja yang betul dan pandai kerana PH dahulu jatuh kerana terlalu pandai membuat janji hingga tak mampu dilaksanakan. Tauladanilah Rasulullah s.a.w., Khulafa al-Rasyidin dan pemimpin yang soleh. Jika ingatan ini diabaikan kekuasaan yang Allah berikan itu akan terlucut. Negara dan umat Islam dijurang kehancuran.

9)      Kepada pemimpin parti yang telah kehilangan kuasa, jika dapat  anda bergabung dengan  kerajaan PN itulah yang terbaik. Baik untuk masa depan orang Islam dan bukan Islam. Jika anda terus dengan sikap ingin menjatuhkan kerajaan yang sedia  ada, itu mungkin baik bagi diri anda, baik untuk bukan Islam tetapi belum pasti baik untuk masa depan Islam dan Umat Islam di Negara ini. Cita-cita, janji dan manifesto pilihanraya anda memang baik tetapi tidak semudah ABC untuk dilaksanakan. Sudah banyak kesusahan yang ditanggung oleh rakyat untuk menjayakan niat reformasi anda. Sudah banyak orang Islam berpanas terik, bermandi gas dan cecair pemedih mata, dan merengkok dalam penjara,  bagi menjayakan reformasi, namun hasilnya kini ialah perselisihan, permusuhan dan kedengkian semakin membara sesama orang Islam. Kaedah yang sesuai dipakai bagi menjelaskan perkara ini ialah:

المصلحة المتيقنة مقدمة من المصلحة الموهومة

Kebaikan atau maslahat yang sudah pasti hendaklah didahulukan dan kebaikan atau maslahat yang hanya andaian atau impian sahaja hendaklah diketepikan.

Cita-cita parti anda terlalu ideal dan bersifat andaian semata. Anda tidak dapat merealisasikannya. Dalam masa yang sama anda telah mengorbankan maslahat yang sudah pasti yang ada pada kesatuan orang Islam. Ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Perbuatan mana-mana individu, orang, cybertrooper atau parti yang ingin memecahbelahkan kesatuan orang Islam dan menghalang mereka dari bersatu adalah ijtihad yang terbukti salah, perbuatan yang keji dan berlawanan dengan surah al-Hujurat ayat 10. Bahkan berlawanan dengan hadis-hadis yang mengajak supaya bersatu sesama Islam yang tidak perlu saya kemukakan dalil rujukannya disini.

10)   Semua pihak hendaklah sedar, walaupun sudah tahu  bahawa tidak ada seorang pun pemimpin parti politik yang maksum. Sifat itu hanya ada pada rasul-rasul dan nabi-nabi sahaja. Oleh itu amalkanlah tegur menegur dan nasihat menasihati dengan cara yang baik. Agama Islam itu adalah nasihat. Surah al-Asr menyuruh saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Perbuatan suka mencaci maki, mengeluarkan kata-kata lucah amat dibenci oleh Islam. Tidak tergambar orang mukmin mencaci maki, mengeluarkan kata laknat, menggelar pencuri, penyamun hatta dipertontonkan di dalam parlimen. Rasulullah s.a.w. melarang mencaci hamun penzina  yang telah sabit dan menjalani hukuman, gelar menggelar yang buruk, penyamun, kafir dan fasik. Sila rujuk ayat 11 surah al-Hujurat. Jika tidak sabit orang yang digelar itu jahat. Maka kejahatan itu akan balik kepada yang menggelarnya. Jika dia memang jahat pun, Allah pasti akan menghukumnya jua. Orang yang ditegur pula janganlah mudah melenting. Terimalah teguran atau buatlah muhasabah diri. Adapun kesalahan lama janganlah suka ungkit mengungkit.  Semua orang ada kesilapan. Jika kita mengungkit kesalahan lama orang lain, lambat laun Allah akan buka pula keaiban kita. Paling teruk jika kesalahan kita diwarwarkan diakhirat kelak. Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya Allah akan menutup keaibannya.

11)  Antara usaha yang paling mulia ialah menjadi pendamai puak yang bertelagah. Kemuliaannya sehingga diharuskan berbohong  demi mencapai hasrat perdamaian sedangkan asalnya berbohong adalah ciri munafik yang amat keji. Matlamat tidak menghalalkan cara. Namun dalam usaha mendamaikan dua puak yang bertelagah ianya berbohong sekadar perlu diharuskan juga. Ini menunjukkan kepentingan perdamaian dalam Islam. Gambarkanlah betapa salah dan buruknya tindakan menghalang perdamaian dan kesatuan. Dalam perdamaian tentulah ada untung dan rugi. Rasulullah membuat perjanjian Hudaibiah yang zahirnya rugi tetapi membawa keuntungan yang berpanjangan kemudiannya. Oleh itu tidak ada rugi apapun jika pemimpin parti Amanah kembali bersatu dengan Pas. Begitu juga jika pemimpin PKR kembali bersatu dengan Umno atau Bersatu. Keuntungan masa depan Islam dan umat Islam adalah pasti. Yang pasti rugi ialah syaitan dan iblis yang gagal mengadu domba.


12)  Kesukaran untuk bersatu disebabkan wujud semangat Iblis yang memperlekeh kedudukan Adam. Iblis berasa ia lebih baik dan berkaliber berbanding Adam ‘alaihissalam. Keangkuhan Iblis berakhir dengan kehinaan dan laknat Allah Taala. Adam dengan kedudukannya pula menjadi alpa dengan musuhnya yang akhirnya menyebabkan ia tersingkir dari syurga. Ingatlah pemegang kuasa yang curang akan ke neraka akhirnya. Manakala pemimpin yang lalai dan alpa pula mungkin mendapat kaffarah kehilangan kuasa dan sebagainya.  Dosa yang tidak terampun disisi Allah ialah ialah ego, takbur dan tidak mahu mengaku bersalah yang ada pada Iblis.

13)  Sempena menyambut Ramadhan al Mubarak ini, saya menyeru semua pemimpin parti politik Negara yang sebahagiannya menjadi idola, naqib dan rakan saya agar berhenti bertelagah, kembali menjalin ukhuwwah, bersatu menjadi rumpun, badan atau bangunan yang teguh bagi memimpin umat Islam, Negara dan seluruh rakyat yang berbilang bangsa mencapai kemakmuran, keamanan dan kegemilangan.

14)  Semoga dengan kehadiran Ramadhan ini, Allah lenyapkan wabak Covit-19, dari Negara kita Malaysia dan seluruh dunia Islam, semoga kita semua dapat kembali beribadah seperti sedia kala dan dilimpahi rahmat Allah Subhanahu Wataala. Wassalam.

15)  Penulisan ini adalah bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena kedudukan dan kedudukan saya.

No comments:

IBU OH IBU. SEMPENA HARI IBU

IBU OH IBU