Saturday, 15 May 2021

JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG LAIN

 

JANGAN JAGA TEPI KAIN ORANG. PAKAT JAGA TEPI KAIN MASING-MASING


1.       Suka mengambil tahu hal orang lain disebut dalam perumpamaan Melayu sebagai “menjaga tepi kain orang lain.” Perumpamaan tersebut sering digunapakai mengenai perkara negatif. Apalah ertinya kita menjaga tepi kain atau hal ehwal orang lain, sedangkan tepi kain kita sendiri atau hal ehwal diri kita sendiri pun tidak dapat dijaga dan diuruskan dengan baik.

 

2.       Sewaktu penguatkuasaan larangan merentas negeri, atau daerah ini, sering terpapar dimedia sosial seperti video atau gambar golongan terkenal seperti ahli politik, artis dan sebagainya yang ditularkan dengan niat mengaibkan, mendedahkan salah laku yang melanggar undang-undang kawalan pergerakan, SOP dan sebagainya. Sebagai contoh; menularkan gambar Neelofa dan suami berbulan madu di Kedah dan ke Nilai membeli Karpet,  Siti Norhaliza meminta Ust. Azhar Idrus mentahnikkan anak, Dr. Zulkifli al-Bakri menghadiri jamuan makan kenduri kahwin tanpa mengikut SOP dan orang kenamaan lain. 

 

 

3.       Golongan yang suka menularkan gambar-gambar pergerakan golongan atasan atau orang kenamaan ini sering mendesak polis dan KKM membuat siasatan, mengambil tindakan dan mengenakan denda berat kepada individu berkenaan. Perbuatan suka menularkan, menggesa dibuat siasatan dan mengenakan hukuman berat kepada golongan berkenaan MENYERLAHKAN busuk hati, sifat dengki, suka jaga tepi kain orang lain dan suka golongan tersebut ditimpa fitnah, jatuh atau kesusahan, bersarang dihati golongan penular.

 

4.       Sewaktu menekan clik forward dan menularkan gambar-gambar berkenaan di media sosial, mereka sendiri tidak pasti tujuan sebenar perlakuan orang kenamaan berkenaan. Contohnya; barangkali mereka merentas negeri dengan kebenaran, tujuan kerja, urusan perniagaan atau lain-lain dan gambar itu hanyalah sampingan semata-mata. Sekiranya benarpun mereka melanggar SOP yang ditetapkan, barangkali kerana terlupa, tanpa kesedaran, tanpa niat dan sebagainya.  Ramai juga golongan Marhen yang tidak mengikut SOP tetapi tidak ada siapa menularkan gambar bukti itu kerana mereka hanya orang biasa.

 

 

5.       Perbuatan suka;  mewarwarkan kesalahan orang lain, mengaibkan individu tertentu terutama melalui media sosial, suka orang lain ditimpa fitnah, musnah perniagaan dan kerjaya baik serta  halal, hilang sokongan dan kepercayaan orang ramai dan sebagainya adalah sifat buruk yang amat keji, jauh lebih keji dari kesalahan orang yang ditularkan itu sendiri. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

 Sesungguhnya orang-orang yang suka perbuatan yang amat keji itu (berita palsu) tersiar di kalangan orang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat, dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. ( An-Nur ayat 19)

Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu( juga)”

(An-Nur ayat 11)

Firman Allah bermaksud:

Dan fitnah itu lebih kejam dari pembunuhan” (al-Baqarah ayat 217)

 

6.       Lihatlah perlakuan kaum Cina dan India. Jarang mereka mewarwarkan keburukan yang dilakukan oleh individu kaum mereka, jarang mereka memfitnah sesama mereka bahkan mereka sering bersatu membela individu kaum mereka meskipun amat nyata kesalahannya.

Jarang mereka menampakkan dengki dan busuk hati sesama mereka terutama dalam perniagaan, walaupun mereka juga manusia yang tidak sunyi dari kesalahan dan kesilapan.

 

7.       Sempena dengan akhir Ramadhan yang penuh berkat ini, marilah kita semua kaum Melayu dan umat Islam:

 

a.       Membersihkan hati dari dengki dan hasad kepada sesama Melayu dan umat Islam.

b.       Menghentikan sikap suka melihat orang Islam lain ditimpa fitnah, jatuh maruah, rosak kerjaya, porak poranda rumah tangga dan sebagainya.

c.       Menghentikan penyebaran berita tidak pasti dan tidak benar, dan berusaha menutup keaiban saudara Islam lain sebagaimana kita tidak suka diri kita diaibkan.

d.       Kepada tokoh politik , pemegang kuasa dan lain-lain lihat dan jagalah tepi kain sendiri dahulu dengan sungguh-sungguh sebelum menjaga tepi kain orang lain. Janganlah melihat kuman diseberang, sedangkan gajah di depan mata tidak kelihatan. Cakap berdegar-degar ekor bergelumang tahi. Menuduh orang terlibat rasuah, diri sendiri dan keluarga makan, minum, pakai hasil wang rasuah juga.

e.       Amar makruf dan nahi mungkar itu hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan menurut panduan Syarak bukannya untuk mendapat publisiti atau menjatuhkan kedudukan orang lain.

f.        Hentikanlah perbalahan dan saling menuding jari sesama sendiri, sebaliknya hendaklah kita saling bantu membantu, menegur dan membetulkan orang lain dengan ikhlas bukannya menggesa agar dihukum, dikompaun, dipenjara dan sebagainya.

g.       Kepada pihak pihak polis, pihak berkuasa tempatan, penguatkuasa dan pemegang amanah tingkatkanlah profesionalisme dalam menjalankan tugas bagi meningkatkan keyakinan orang ramai.

 

            SELAMAT BERIBADAH DIAKHIR RAMADHAN.

 

          DATO’ HJ. ASAD BIN AWANG

                TAMBUN IPOH PERAK.

No comments:

IBU OH IBU. SEMPENA HARI IBU

IBU OH IBU