Thursday 7 May 2020

PEMIMPIN YANG ADIL


PEMIMPIN YANG ADIL


1. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.  bermaksud:
Tujuh golongan yang akan mendapat naungan arasy Allah pada hari kiamat kelak ialah: Seorang imam yang adil, seorang pemuda yang masa mudanya dihabiskan dengan beribadat kepada Allah, seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang berdarjat dan rupawan agar berzina tetapi ditolaknya dengan alasan takut kepada Allah, seorang,  yang memberi satu sedekah secara senyap sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang diberi oleh tangan kanan, dan seorang yang beribadat ditempat sunyi sehingga mengalir air matanya.
Riwayat Bukhari dan Muslim.

2.  Imam atau pemimpin mendapat keistimewaan dan keutamaan di sisi Allah, berbanding dengan semua kumpulan lain. Nabi Muhammad s.a.w., Rasul-rasul Ulul Azmi, semua rasul dan para anbia’ selain menggalas tugas risalah dan nubuwwah, juga mengepalai kepimpinan barisan hadapan berada di bawah naungan tersebut. Di belakang mereka ialah Khulafa’ al Rasyidin, khalifah-khalifah dan kepala Negara yang memimpin umat ke jalan Allah dengan penuh keadilan dan mendapat keredaanNya. Kedudukan pemimpin yang adil mengatasi semua kedudukan golongan lain, mengatasi kedudukan para wali dan ahli-ahli ibadat yang lain.

3. Perlakuan seorang  pemimpin akan memberi kesan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain. Keadilan seorang pemimpin akan dirasai oleh seluruh orang yang berada di bawah kepimpinannya. Semakin besar amanah kepimpinan yang dipegangnya semakin besar cabaran dan infaknya. Sebagai contoh  tindakan seorang ketua Negara seperti seorang Maharaja, Presiden, Perdana Menteri, menteri dan seterusnya akan memberi kesan sama ada positif atau negatif kepada rakyat atau komuniti yang dipimpinnya. Semua gerak-geri mereka menjadi perhatian umum, menjadi ikutan dan tauladan kepada mereka. Berbeza dengan tindakan seorang ahli ibadat  biasa, sebesar manapun kebaikan atau kejahatan yang dilakukannya oleh seorang ahli ibadat infaknya sering terbatas kepada dirinya atau bilangan yang kecil.

4.  Perutusan Rasulullah s.a.w. menjadi rahmat keseluruh alam. Segala perbuatan, ucapan dan pengakuan baginda menjadi ikutan kepada umatnya, meskipun amat kecil. Nabi Sulaiman a.s. menyedari kehadirannya membawa bala tentera ke satu wadi menggusarkan semut-semut di situ. Menurut sangkaan semut Sulaiman tentu tidak menyedari kehadiran mereka akan menimbulkan kesusahan kepada mereka. Rupanya tindakan baginda telah mengambil kira kebajikan semut berkenaan. Begitu juga, Sulaiman sedar ketidakhadiran makhluk kecil burung Hud-hud dalam perhimpunannya. Baginda sedia mendengar dan menerima alasan yang diberikan Hud-hud dan bukannya sewenang-wenang menjatuhkan hukuman.  Nabi Yusuf a.s. pula telah menunjukkan contoh keadilannya sewaktu memegang kuasa dengan memastikan hanya orang yang terbukti bersalah mencuri sahaja dihukum. Baginda berlindung dengan Allah dari melaksanakan hukuman secara zalim.

5. Lawan sifat adil ialah zalim atau kejam. Kekejaman seorang individu biasa seperti perompak hanyalah memberi kesan kepada mangsanya sahaja. Sebaliknya kezaliman atau kekejaman itu seorang diktator, Presiden, Perdana Menteri, Raja atau menteri sesebuah Negara meninggalkan kesannya amat parah kepada jutaan rakyat jelata.  Contoh pemimpin Negara  yang zalim yang direkod oleh al Quran ialah Firaun, Namrud, Abu Lahab dan pemuka-pemuka Quraisy.

6.  Imam atau pemimpin memegang amanah khilafah yang amat besar dan berat. Cabaran dan halangan yang mereka hadapi bagi melaksanakan amanah tersebut amat besar dan getir. Langit, bumi, bukit-bukau yang kuat dan teguh pun tidak mampu melaksanakannya. Malaikat-malaikat Allah pun tidak mampu memikul tanggunjawab tersebut. Disebabkan besarnya cabaran yang dihadapi oleh imam atau pemimpin Negara maka layaklah mereka menjadi orang yang paling utama dan berada di barisan hadapan kiamat kelak.
Imam Tabrani meriwayatkan hadis Nabi s.a.w.:

أفضلُ الناس عند الله منزلةً يوم القيامة إمامٌ عادلٌ رفيق، وشرُّ عباد الله عند الله منزلةً يوم القيامة إمامٌ جائر"
Orang yang paling utama kedudukannya di sisi Allah kiamat kelak ialah seorang imam yang adil dan belas ihsan. Manakala kedudukan hamba Allah yang paling buruk hari kiamat kelak ialah seorang imam/pemimpin yang zalim.

7.  Fungsi utama Imam atau pemimpin adalah memelihara agama Islam, menjaga kebajikan rakyat dan menguruskan mereka dengan sebaiknya . Dua tugas tersebut mesti didahulukan, mengatasi ibadat sunat  seperti semua solat sunat, zikir, tilawah dan sebagainya. Pemimpin yang kuat melakukan ibadat sunat tetapi mengabaikan kebajikan rakyat yang menjadi kewajipannya adalah melakukan kesilapan yang amat besar.  Kaedah fiqh menyebut:

لايترك الواجب لواجب

Perkara wajib tidak boleh ditinggalkan melainkan bila bertembung dengan perkara wajib juga

Jika beberapa perkara wajib bertembung dalam satu masa pun hendaklah didahulukan perkara wajib yang paling mendesak dan memberi infak paling besar.

Tindakan baik dan bermaslahat untuk rakyat yang dilakukan oleh seorang pemimpin amat besar pahalanya, lebih besar daripada pahala ibadat sunat yang lama dan utama. Sebaliknya jika pemimpin  salah, cuai,  zalim, kejam, bertindak kerana kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata, maka dosanya  amatlah besar berbanding dosa yang dilakukan oleh individu bukan pemimpin.  Abu Hurairah menyebut:

“Berlaku adil sesaat itu lebih afdhal dari beribadat selama enam puluh tahun, yang dipenuhi dengan qiamullail dan puasa. Manakala berlaku zalim semasa memerintah lebih besar
dosanya dari berbuat maksiat selama enam puluh tahun”

8. Para pemimpin adalah ibarat naungan Allah di muka bumi. Rakyat amat berharap dapat berteduh dan merasa kebaikan dari kepimpinan mereka. Antara maksud ucapan Abu Bakar al Siddiq sewaktu dilantik menjadi khalifah ialah:

“Wahai sekelian manusia, sesunguhnya aku telah dilantik memimpin kamu, sedangkan aku bukannya orang yang terbaik dikalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik, bantulah aku. Sekiranya aku salah betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah dikalangan kamu sebenarnya adalah kuat bagiku sehingga aku mesti memulangkan haknya insya Allah. Orang yang kuat dikalangan kamu adalah lemah bagi saya sehingga aku boleh mengambil sesuatu yang hak darinya insya Allah. Tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad fi sabilillah melainkan mereka akan ditimpakan Allah dengan kehinaan. Bala hanya akan menimpa suatu kaum apabila perbuatan keji berleluasa. Taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan RasulNya. Sekiranya aku menderhakai Allah dan RassulNya maka ketika itu tidaklah lagi wajib kamu mentaatiku”.

Sufian al-Tsauri berkata:

“Kalaulah aku diberi peluang berdoa’ yang pasti makbul, aku  akan mengambil peluang itu dengan mendoa’kan kebaikan untuk sultan. Sebabnya jika sultan baik maka akan baiklah umat ini

Imam Ahmad meriwayatkan hadis Nabi s.a.w. bermaksud:

Dua golongan dari kalangan umatku. Jika keduanya baik maka baiklah umat ini. Jika mereka rosak akan rosaklah umat ini. Mereka ialah Sultan dan ulama’

9.  Ma’qal bin Yasar meriwayatkan sabda Nabi s.a..w.:

ما مِن والٍ يَلِي رَعِيَّةً مِنَ المُسْلِمِينَ، فَيَمُوتُ وهو غاشٌّ لهمْ، إلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عليه الجَنَّةَ

Setiap pemimpin  kaum Muslimin yang mati dalam keadaan menipu rakyat, Allah haramkan dia dari memasuki syurga.  (Riwayat al-Bukhari)

Penyumbang utama kepada kerosakan Negara ini adalah sebahagian para pemimpin dan pegawai tinggi yang menipu rakyat. Mereka tiada integriti; mengambil rasuah, melakukan kerja yang yang bertentangan dengan janji yang diluahkan kepada rakyat, mengkhianati  ikrar dan aku janji yang diberikan sewaktu pelantikan. Kebanjiran pendatang tanpa izin, kawalan sempadan yang longgar, pengurusan pendaftaran kewarganegaraan yang tidak telus dan sebagainya. Perkara tersebut dilakukan oleh pemimpin dan pegawai atasan yang tidak berintegriti, tidak takutkan Allah, tamakkan kemewahan duniawi dan tiada sifat adil.  Mereka dengan angkuh kepada rakyat mempamerkan kemewahan kediaman, kenderaan, pakaian, cara hidup, sedangkan gaji asas yang diterima tidak seberapa, atau baru beberapa bulan memegang jawatan. Semua ini menjadi pertanda kepada berlakunya penipuan sewaktu mereka menjalankan tugas.

10. Sebahagian besar pemimpin mencari dan mendapatkan kedudukan tinggi didalam parti politik yang melayakkan mereka menguasai negera dengan cara mengadu domba, memecahbelahkan kesatuan umat yang menjadi lawan parti mereka, mewarwarkan keburukan dan keaiban lawan, bahkan mengupah kumpulan cybertrooper bagi mencari peluang untuk memfitnah, memburuk-burukkan, mengaib dan seterusnya menjatuhkan lawan yang seagama dan sebangsa dengan mereka, semata-mata memenuhi nafsu cintakan kemewahan dunia dan gelaran dan sebagainya. Golongan ini jika berjaya menjadi pemimpin pun layakkah mereka digolongkan sebagai pemimpin yang adil. Ataukah bersama Firaun, Haman, Abu Lahab, Ubai bin Khalaf di neraka yang Allah haramkan kepada mereka syurga.
Hanya Allah dan mereka sendiri yang boleh menilai keikhlasan dan kejujuran mereka.

11. Sejak dari zaman Abu Bakar al-Siddiq sehingga ke hari ini, hanya ada beberapa kerat pemimpin umat yang disenaraikan oleh ulama’ dan cendikiawan Islam sebagai pemimpin dan khalifah yang adil.  Mereka ialah Khulafa’ al-Rasyisin, Umar b. Abdul Aziz, Harun al-Rasyid, Salahuddin al-Ayubi dan Muhammad al-Fatih. Puluhan khalifah dan pemimpin yang lainnya jarang dibincangkan keadilan, kewarakan dan kezuhudan mereka. Mereka yang disenaraikan mengutamakan kesusahan rakyat, ibu-ibu tunggal yang melarat. Orang-orang tua yang tiada tempat pergantungan, dan sebagainya lebih dari perhatian kepada kebajikan diri dan keluarga. Umar Ibn. Al-Khattab sanggup menyebat sendiri anaknya yang bersalah. Beliau sanggup memikul guni gandum dan memasakkan sendiri keperluan ibu tunggal dan anak yatim. Umar bin Abdul Aziz sewaktu diminta menukarkan kelambu ka’bah yang menjadi acara tahunan telah menolak. Beliau  berpendapat lebih baik peruntukan itu diberi kepada rakyat yang kelaparan. Bagi beliau itu lebih penting dari mencantikkan ka’bah. Keadilan dan keperihatinan mereka kepada rakyat adalah konsisten, bukannya setakat untuk mengambil gambar lalu menularkannya atau hanya dalam musim pilihanraya sahaha.

12. Pada masa kini siapakah yang memikul tanggungjawab utama memelihara agama, menyatu padukan ummah, mengembalikan wang-wang Negara yang hilang dan tiris, menjaga kepentingan  rakyat yang susah dan melarat. Layakkah pemimpin-pemimpin politik Negara yang pernah memegang kuasa dan amanah disenaraikan sebagai imam yang adil sedangkan mereka berterusan mengadu domba, cantas mencantas, jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, berebut-rebut mengaut dan menyalahgunakan khazanah Negara  bagi kepentingan diri, keluarga dan seterusnya membeli sokongan bagi mengekalkan kedudukan?


رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً

Ikhlas dari
ASAD BIN AWANG

Penulisan ini tidak ditujukan kepada individu tertentu. Ia adalah muhasabah umum dan pandangan peribadi penulis semata-mata. Segala kesilapan dipohon berbanyak maaf.

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN