Tuesday 23 January 2024

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

 

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN


       Sebagai orang awam yang tidak mempunyai latarbelakang perundangan, tidak berpengalaman dalam politik, dan tidak mempunyai kepentingan peribadi; maka penulis berpandangan lebih banyak keburukan dari kebaikan bagi Kerajaan Perpaduan menggubal RUU Penggal Tetap.  Tidak dinafikan ada kebaikannya yang mendesak kepada Kerajaan Perpaduan meggubalnya bagi menjamin kesetabilan kedudukannya, tetapi keburukan jangka panjang jauh lebih besar dari kebaikannya. Oleh itu cadangan tersebut eloklah dibatalkan. Antara alasan utama penulis adalah seperti berikut:

a)       RUU berkenaan akan membolehkan sebuah kerajaan yang lemah tidak berdaya terus berkuasa. Memegang mandat lima tahun tanpa boleh diganggu gugat, membolehkan kerajaan yang lemah tidak memperdulikan rungutan, jeritan dan kesengsaraan rakyat akibat kegagalannya memulihkan ekonomi yang tenat. Rakyat terpaksa menanggung sengsara, menahan sabar sehingga tempoh tersebut tamat. Rakyat yang sengsara tidak akan mendapat pembelaan dari kerajaan yang lemah.

b)      RUU berkenaan boleh dengan segaja atau tidak sengaja disalah gunakan oleh kerajaan yang lemah dan rakus untuk terus menghakis khazanah negara, meninggalkan hutang yang amat banyak untuk diwarisi oleh kerajaan yang berikutnya.

c)       RUU berkenaan mungkin digunakan oleh kerajaan yang tidak mewakili orang Melayu untuk menindas kaum Melayu, memindahkan hak-hak orang Melayu kepada kaum bukan Melayu dan sebagainya. Contohnya pengubahan, pengambilan dan pengurangan tanah-tanah rezab Melayu yang telah berlaku.

d)      RUU berkenaan mungkin digunakan oleh kerajaan yang tidak mewakili orang Melayu untuk menyekat kebebasan umat Islam mengamalkan agama, menyekat peruntukan-peruntukan berkaitan keistimewaan Islam sebagai agama Persekutuan.

e)      Menggalakkan parti-parti politik menipu rakyat dengan menaburkan janji-janji kosong, manifesto yang tidak bermakna sewaktu kempen pilihanraya. Yang penting bagi mereka ialah mendapatkan kuasa yang dijamin tidak berubah untuk tempoh lima tahun meskipun dengan mengkhianati rakyat yang telah mengundi mereka.

Bagi menjamin kesetabilan sesebuah kerajaan, seperti delima yang dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan kini, maka dicadangkan agar Kerajaan Perpaduan memilih alternatif lain, bukannya dengan menggubal RUU Penggal Tetap.  Antara langkah yang realistik  ialah:

a)       Memenangi hati ahli-ahli parlimen pembangkang dengan mengurangkan atau menghentikan serangan balas. Serangan balas, menggunakan jentera kerajaan untuk menyiasat, menuduh dan mengaibkan pembangkang dan dalam masa yang sama melepas dan mempertahankan salahlaku anggota parti sendiri pasti akan meningkatkan kemarahan pihak lawan. Memenangi hati pembangkang dengan menyalurkan peruntukan yang mudah, berlaku adil sehingga dapat dilihat dan dirasa oleh semua pihak akan menyebabkan pembangkang menjadi alah malu dan akhirnya menerima hakikat keabsahan kerajaan yang ada.

Aishah meriwayatkan sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

“Demi Allah, kalaulah Fatimah anak perempuanku mencuri pastilah aku potong tangannya” riwayat al-Bukhari

b)      Memulihkan ekonomi negara, melaksanakan reformasi perundangan, memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan mengembalikan hak keistimewaan orang Melayu tanpa mengabaikan hak kaum lain.  Perkara ini jika diberi keutamaan dan direalisasikan pasti akan menyebabkan ahli-ahli parlimen pembangkang tunduk, kehabisan modal dan beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Selagi perkara-perkara ini diabaikan selama itulah Kerajaan Perpaduan menghadapi serangan pembangkang serta orang Melayu umumnya. 

c)       Kerajaan yang merasa tergugat hendaklah memberi fokus kepada masalah rakyat.  Memenuhi janji-janji yang telah dicatat dalam manifesto pilihanraya yang lalu. Mandat tempoh lima tahun amat pantas berlalu dan tidak boleh dibazirkan dengan melayani permainan politik pembangkang yang hendak mengalihkan tumpuan kerajaan mengatasi masalah rakyat. Rakyat mahu melihat dan merasa hasil usaha kerajaan baru yang memerintah. Sokongan rakyat sebagai pengundi akan berubah jika janji yang telah ditabur tidak dipenuhi.

d)      Adalah menjadi hak setiap parti politik untuk bergabung dengan mana-mana parti politik yang sah. Namun gabungan dengan parti bukan Melayu janganlah sampai mengurangkan,  menghakis atau memudaratkan kekuasaan masa depan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Contohnya kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu. Andainya semua gabungan parti yang memerintah menghormati Perlembagaan Persekutuan, mempertahankannya dan tidak menunjukkan usaha atau kecendurungan meminda mana-mana peruntukan tersebut, maka sudah pastilah semua serangan dan dakwaan pembangkang dapat ditangkis dengan mudah.

 

Berikut adalah beberapa kaedah Isalam menangani perkara yang bercampur baur antara kebaikan dengan keburukan:

 

a)       Menghindarkan keburukan lebih utama dari mengambil kebaikan.

"د فع الضرر أولى من جلب المنافع"

Apabila berlaku pertembungan dalam sesuatu perkara, didalamnya ada kebaikan dan ada keburukan dan setelah dikaji keburukannya lebih besar dari kebaikannya, maka wajarlah perkara itu ditinggalkan sahaja. Usahlah terpedaya atau tertipu dengan kebaikannya yang sedikit. 

Allah berfirman mengenai dengan arak:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Mereka bertanya padamu tentang khamar (arak) dan judi. Katakanlan: pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya  (al Baqarah 219)

 

b)      Sesuatu bahaya tidak boleh dielakkan dengan cara menimbulkan bahaya lain yang serupa atau lebih besar lagi.

Ketidaksetabilan kerajaan masakini adalah berbahaya. Namun bahaya tersebut boleh dielakkan dengan memilih beberapa pendekatan yang telah dinyatakan di atas. Bahaya ketidaksetabilan ini tidak boleh diatasi dengan mewujudkan RUU Penggal Tetap kerana pewujudan RUU tersebut mengundang bahaya akan datang yang lebih besar lagi.

الضرر لايزال بضرر مثله أو اكبر منه

Ibarat seorang yang sedang kebuluran tidak boleh menyelamatkan nyawanya dengan membunuh dan meratah daging kawannya atau meminum air yang beracun.

Sebagai seorang rakyat biasa, warganegara dan seorang Muslim yang sentiasa mencintai agama, bangsa dan negara penulis merayu dan berdoa agar Allah mengurniakan hidayah, hikmat, pertimbangan yang jauh dan wajar kepada para pemimpin negara agar membuat keputusan dan tindakan yang membawa kepada kebaikan jangka panjang kepada agama Islam, masadepan orang Melayu yang gemilang serta keamanan dan kemakmuran negara Malaysia yang tercinta.

Salam hormat dari saya

ASAD BIN AWANG

Tambun Ipoh.

 

 

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN