Tuesday 19 May 2020

Perdamaian lwn Perseteruan


PERDAMAIAN LWN PERSETERUAN


1)      Islam agama kesatuan.  Menyeru kepada persaudaraan, pembentukan umat yang kuat dan teguh. Kukuhnya persaudaraan Islam diumpamakan seperti satu jasad yang jika satu anggota sakit, anggota lain pun tidak dapat tidur dengan selesa. Cubit peha kiri, peha kanan pun terasa. Persaudaraan laksana sebuah bangunan yang berdiri megah. Setiap bahagian saling mengukuhkan bahagian yang lain. Allah mengurniakan surah Saff yang bermaksud satu barisan. Surah yang menggesa seluruh Umat Islam agar berada dalam satu barisan sahaja  sewaktu menghadapi musuh yang berusaha menghancurkan Islam. Bersatu teguh, bercerai roboh. Bersatu dan bermuafakat dalam kalangan umat Islam merupakan senjata utama yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam bahkan merupakan rukun utama mencapai kemenangan.

2)      Islam amat membenci dan melarang perpecahan dalam kalangan Umat Islam. Banyak ayat al Quran dan Hadis Nabi s.a.w. yang menggesa agar didamaikan pergaduhan suami isteri, didamaikan pergaduhan dan pertelingkahan puak-puak dalam kalangan orang Islam.

“Tegakkanlah agama dan jangan berpecah belah didalamnya”
Maksud surah al Syura ayat 13.

"Dan jika kamu takut khuatir berlaku persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang jurudamai dari keluarga lelaki dan seorang jurudamai dari keluarga perempuan
Maksud an-Nisa’ ayat 35

“Dan jika ada dua golongan orang Islam Mukmin yang berperang maka damaikanlah antara keduanya” Maksud Surah al-Hujurat ayat 9.

3)      Mengajak agar bersatu dan berpegang teguh dengan tali Allah merupakan usaha yang amat baik dan mulia. Orang yang menjalankan usaha mendamai, merapatkan dan memperbaiki hubungan dua puak Islam yang bersengketa amat mulia dan terpuji. Usaha itu lebih mulia dan lebih baik dari ibadat solat, puasa dan bersedekah.
Abu Darda’ meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.

ألا أخبركم بأفضل من درجة الصلاة والصيام والصدقة ؟ قالوا بلى ..قال إصلاح ذات البين . وفساد ذات البين هي الحالقة » أخرجه أحمد والترمذي وأبو داوود
 Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih baik dari sembahyang, puasa dan sedekah? Sahabat menjawab: Sudah tentu. Sabda Baginda: Memperbaiki hubungan (mendamaikan yang berkelahi) Dan merosakkan hubungan pula adalah pencukur (penghapus kebaikan)
Allah berfirman maksudnya:
            Maka bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan sesama kamu
             Maksud surah al-Anfal  ayat 1.

4.      Orang Melayu dan umat Islam Malaysia sedang dilanda perpecahan yang amat serius. Perebutan kuasa berlaku dalam kalangan pemimpin mereka. Ada yang menabur fitnah, mewarwarkan keburukan satu sama lain, mengadu domba agar orang Melayu atau umat Islam tidak dapat bersatu. Ada yang meludah ke langit memburukkan bangsa dan kaum sendiri dengan gelaran; bacul, bodoh, malas dan sebagainya. Ada yang khuatir bersatunya umat Islam negara ini akan mengancam kelangsungan parti dan karier politik mereka. Rezeki dan kekayaan mereka diperolehi melalui pecah-belah umat ini. Bukti paling jelas ialah sejak Merdeka hingga kini, tahun 2020  merupakan tahun perpecahan parti politik orang Melayu yang paling parah dalam sejarah negara. Bilangan parti politik orang Melayu paling banyak masa kini. Kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri bertukar berganti. Perpecahan ini tentunya mengancam maslahat Agama Islam dan Umat Islam.

5.      Penulis berpandangan, usaha yang paling utama dan dituntut oleh Islam kini ialah mendamaikan puak-puak yang bertelagah. Manakala perbuatan paling keji dan jijik ialah memecahbelah dan menghalang kesatuan umat. Penyakit dan punca utama kelemahan umat dan negara-negara Islam kini ialah perpecahan, perebutan kuasa, gila pangkat dan kedudukan. Rawatan yang diperlukan ialah seruan kepada perdamaian, berprasangka baik dan tazkiyyatun nafs atau penyucian jiwa. Penyakit yang melanda umat Islam kini sama dengan yang telah menimpa masyarakat Arab Jahiliah, Bani Umaiyyah, Abbasiah, Othmaniah hingga kini.

6.      Pengetahuan dan kemahiran yang amat diperlukan masa kini ialah ilmu yang berkaitan dengan penyucian hati dan jiwa pemimpin yang kotor. Ilmu dan kemahiran untuk mendamaikan puak-puak Islam yang bertelagah. Meskipun ilmu Tauhid, Hadis, Tafsir, Fiqh, Ulum Quran dan sebagainya penting dan dirangking pertama suatu ketika dulu, tetapi dalam keadaan darurat politik hari ini pembersihan jiwa dan penyingkiran sifat cintakan dunia dan kemegahanlah yang perlu didahulukan.

7.      Bertugas mendamai dan menyatukan pertelagahan pemimpin pada saat kritikal ini, hukumnya fardu Kifayah. Namun ianya tidak pernah berhasil atau menampakkan hasil yang positif. Oleh itu andainya perpecahan dan perseteruan ini dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan Islam dan umat Islam terancam, maka semua ulama’, ilmuan Islam, para pemimpin dan orang Islam yang berdiam diri  berdosa dan bertanggungjawab.

8.      Intipati surah an Nisa’ ayat 35 menuntut agar pendamai terdiri dari wakil pihak yang bertelagah. Pendamai hendaklah merupakan orang yang disegani, dihormati,  berpengetahuan dan mahir melakukan usaha perdamaian. Dalam konteks krisis politik pemimpin Melayu Malaysia, tokoh-tokoh ulama’, akademik, perundangan, negarawan dan sebagainya yang disegani pihak yang bertelagah perlu berdiri dan bertindak di barisan hadapan menyempurnakan tuntutan fardu kifayah tersebut.

9.      Sahl bin Saad meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. kepada Ali b. Abi Talib yang bermaksud:
“Andainya Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki melalui usaha engkau, itu adalah lebih baik dari mendapat seekor unta merah.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ganjaran dapat mengislamkan seorang insan biasa pun sudah cukup besar, apatah lagi dapat memperbaiki akhlak dan tindakan seorang pemimpin negara yang korup dan zalim. Infaknya amatlah besar, lebih besar dari peranan seorang Professor, Saintis, Kiyai dan sebagainya. Dengan usahanya pentadbiran sebuah negara berubah.

10.  Dalam keadaan perpecahan yang parah ini, tidak sepatutnya  kedengaran suara agamawan yang membesar-besarkan perkara remeh temeh atau khilafiah. Perkara yang dibangkitkan itu setengahnya sudahpun dimuktamadkan oleh ulama rantau ini. Membuka semula pintu perdebatan isu-isu tertentu menyebabkan perselisihan semakin ketara. Contohnya ialah; membincangkan semula ayat Mutasyabihat berkaitan istiwa’, tangan, muka dan mata dengan makna hakiki.  Bertegas mengkategorikan masalah khilafiah sebagai bid’ah sesat, seperti sambutan Maulid Nabi s.a.w., membaca Yasin malam Jumaat, tahlil, talqin dan doa arwah.  Membincangkan semula perkara tersebut dalam media sosial, meskipun disokong dengan hujjah, ibarat memberi ubat yang yang tidak berkaitan dengan penyakit utama pesakit. Masalah utama yang dihadapi sekarang ialah masalah kesatuan. Masalah hati dan jiwa yang kotor. Masalah keangkuhan, gila kuasa, gila dunia dan kemegahan. Penyakit utama ini membawa kepada terancamnya Islam dan survival umat Islam.

12.  Para ulama’ dari disiplin Fikah, Tawhid, Hadis, Tafsir atau sebagainya tidak sepatutnya mengangkat diri sendiri sebagai juara dalam bidang ilmu, paling utama dan mulia. Orang yang paling utama dan mulia ialah yang berusaha dengan ikhlas dan mampu mengislah masyarakat yang rosak dan porak poranda. Ia mampu mendamaikan dan menyatukan kembali perpecahan yang parah ini. Menyatukan dan merapatkan saf sehingga menjadi satu jasad atau sebuah bangunan yang teguh.

13.  Ilmu itu laksana ubat.  Meskipun baik, berkualiti dan mahal, ia menjadi tidak berguna, bahkan berbahaya dan memudaratkan jika diberikan kepada pesakit yang tidak berkaitan. Para ulama’ adalah laksana doktor yang memilih dan menentukan ubat yang sesuai untuk pesakit.  al-A’masy menyebut:

“Penyakit ilmu itu lupa. Dan sia-sialah jika kamu mengajar ilmu itu kepada yang bukan ahlinya” Maksud Hadis Mursal riwayat al-Darami

14.  Penulis mengajak pemimpin dan para agamawan, terutamanya yang dihormati dan disegani agar berperanan sebagai pendamai dan muslihin yang dapat meredakan perpecahan yang sedang berlaku. Pemimpin dan ulama’ menjadi contoh kepada orang ramai. Kebaikan dan keburukan mereka memberi impak yang amat besar kepada kesejahteraan umat seluruhnya. Jauhilah sifat orang gila yang menuding jari mengatakan orang lainlah yang gila. Imam Jalaluddin al Sayuti meriwayatkan dari Ibni Abbas sabda Nabi s.a.w.:

صنفان من الناس, اذا صلحا صلح الناس, واذا فسدا فسد الناس: العلماء والامراء
“ Dua golongan dari kalangan manusia jika mereka baik, maka baiklah orang ramai. Jika mereka rosak, maka orang ramai turut rosak. Iaitu, ulama’ dan umarak.”

Salam hormat dari saya

Dato’ Asad bin Awang

            Penulisan ini tidak berkaitan dengan individu tertentu. Segala kesilapan mohon 
            Diperbetulkan.

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN