Thursday 14 January 2021

Hukum Menjatuhkan Kerajaan

                          ANTARA COVID19, PERISYTIHARAN DARURAT DAN PRU 15


1. Jangkitan Covid19 di Malaysia mencapai tahap terburuk. Purata bilangan kes positif harian melebihi kes sembuh. Hospital dan pusat-pusat kuarantin penuh sesak dan tidak dapat lagi menampung bilangan pesakit yang terlalu ramai. Ramai kakitangan hospital sendiri dijangkiti virus berkenaan.  Peralatan perubatan seperti alat bantuan pernafasan dan ventilator tidak mencukupi. Pakar, pegawai perubatan dan anggota frontliners amat sibuk, cemas dan lesu kerana bekerja tanpa rehat dalam tempoh yang panjang.


2. Dalam keadaan gawat tersebut, sebahagian ahli politik dan penyokongnya  mempersoalkan kewajaran kerajaan mengisyiharkan darurat dengan alasan; kes Covid19 belum mencapai tahap kritikal, tidak demokratik, berniat untuk menghalang peralihan kuasa, menyekat berlaku pilihanraya, menyekat parlimen dari bersidang dan pelbagai alasan lagi.



3. Orang awam dan golongan marhen seperti penulis menelah;  kelakuan, tindakan dan kegilaan sebahagian politikus sudah mencapai tahap amat teruk dan hilang rasional dan kewarasan. Sanggupkah mereka meneruskan perebutan kuasa, tarik menarik sokongan, lompat melompat parti, menukar-nukar kerajaan seperti menukar baju ketika rakyat sedang berdepan ancaman jangkitan Covid19, bencana ekonomi yang amat teruk dan banjir yang melanda? Tidak bolehkah ditangguhkan pilihanraya sehingga geraf covid19 menjadi landai mencapai tahap dua digit.? Tidak bolehkah individu yang tamak dan gilakan kerusi Perdana Menteri menunggu seketika sehingga keadaan reda?


4. Alasan yang mengatakan Perdana Menteri yang ada tidak cukup majority dan perlu ditukarkan dengan Perdana Menteri baru , semata-mata pandangan yang tidak mempunyai asas melainkan andaian semata-mata. Buktinya telah beberapa kali alasan itu diulang tetapi, calon baru PM yang ditonjolkan pun belum dapat mereka muktamadkan dan mendapat sokongan yang jauh lebih besar.  Selain itu tidak dapat dibuktikan bahawa calon baru Perdana Menteri ke 9 dapat menyelesaikan masalah Covid19 dan masalah kegawatan ekonomi, kerana parti calon baru PM itu sendiri berpecahbelah dan saling bertelagah sesama sendiri. Kerajaan yang ada ini meskipun lemah, tetapi wajib dipelihara dengan baik sehinggalah pasti (yakin) kerajaan baru yang akan dibentuk lebih baik dan lebih kukuh. Janganlah bertindak berdasarkan nafsu kemaruk kuasa semata-mata.  Dibimbangi, “Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran” “Ayam terlepas, tangan berbau tahi”  Antara prinsip Fiqh Keutamaan ialah; 

  المصلحة المتيقنة مقدمة من المصلحة الموهومة"

“Maslahat yang diyakini hendaklah didahulukan berbanding maslahat yang dijangka semata-mata”


Janganlah diruntuhkan dulu rumah yang ada, meskipun buruk selagi belum ada tapak baru yang sesuai, sebelum ada wang yang cukup dan pelan yang lengkap untuk membina semula. Takut rumah baru tergendala pembinaannya dan tiada lagi tempat bernaung. Amatlah meleset pandangan yang mengatakan kita runtuhkan dulu rumah buruk ini dan kita fikir kemudian untuk membinanya. Cukuplah pengajaran dari keruntuhan kerajaan lalu seperti kerajaan Saddam Husin di Iraq. Dibimbangi ijtihad yang salah menyebabkan agama terancam dan rakyat menderita.


5. Pandangan yang mengatakan parlimen perlu dibubarkan dan pilihanraya umum perlu diadakan segera, dan pilihanraya bukan penyebab peningkatan Covid19.  Pandangan tersebut hanyalah keluar dari mulut dan fikiran orang yang sudah dijangkiti penyakit gila kuasa, kehilangan sabar dan rasional. Cukuplah pengajaran dari pilihanraya Sabah yang menjadi bukti bahawa; ahli politik dan penyokong tidak akan dapat membendung keghairahan untuk berkumpul, menemui kumpulan penyokong, bersalaman, berpelukan, melanggar SOP dll.  Bukankah situasi seperti ini  bermakna sengaja mendedahkan diri kepada kebinasaan.?  Hayatilah firman Allah yang bermaksud:


”Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan”  (al-Baqarah 195) 


Ayat di atas menuntut agar umat Islam tidak melakukan sesuatu yang boleh  merosakkan Agama, nyawa, keturunan, akal dan hartabenda.

Setiap Muslim, apatah lagi penguasa dan pemimpin, mereka bertanggungjawab memelihara kelima-lima perkara tersebut. 


6. Umat Islam perlu sedar dan berpuas hati bahawa; PM sedia ada, adalah orang Melayu Islam dari kalangan mereka sendiri. Majoriti menteri kabinet yang juga orang Islam. Walaupun kerajaan ini tidak mempunyai majority yang besar, “Perlu sangatkah ia dijatuhkan?” Adakah jaminan bahawa dibawah kerajaan baru akan datang kedudukan Islam akan semakin kukuh dan dihormati? Kedudukan orang Melayu semakin baik? Jika semuanya belum pasti dan berdasarkan andaian dan cubaan semata-mata,  adalah HARAM menjatuhkannya, bahkan WAJIB mengekalkannya sehingga tamat tempoh yang diizinkan perlembagaan. Pertukaran hanya boleh dibuat dari yang buruk kepada yang baik. Dari yang baik kepada lebih baik atau sama baik. Hujjah ini berdasarkan firman Allah:

“Kami tidak akan menasakhkan sesuatu ayat atau menjadikan (manusia) lupa melainkan Kami datangkan yang lebih baik darinya  atau yang sebanding dengannya” al-Baqarah 106)   Intipati hijrah ialah berhijrah kepada yang lebih baik.


7. Kebarangkalian kerajaan baru selepas ini lebih teruk, lebih korup dan lebih zalim tetap ada. Dakwaan kerajaan akan datang lebih baik semata-mata andaian dan harapan sahaja. Sewaktu  PRU ke 14 lalu kerajaan BN telah dijatuhkan kerana dianggap zalim dan korup. Namun ramai mendakwa bahawa kerajaan PH yang mengambil alih itu lebih teruk dan mengabaikan maslahat Islam dan golongan bawahan sehingga ia dijatuhkan oleh ahli gabungannya  sendirinya dalam tempoh 18 bulan sahaja.


8. Penulis mengajak pembaca melihat Perisytiharan Darurat ini dari sudut yang positif. Orang yang berfikiran positif sering mendapat hasil yang positif. Sebaliknya orang yang berfikiran negative sering menerima kehidupan yang sempit dan sukar. Tujuan perisytiharan Darurat ini untuk memberi fokus kepada mengatasi masalah jangkitan Covid19 dan memulihkan kegawatan ekonomi dan penderitaan rakyat. Persiytiharan Darurat dapat menyekat gangguan dan kegilaan individu tertentu untuk merebut jawatan Perdana Menteri dan kerajaan. Gangguan tersebut jika dibiarkan akan menghilangkan fokus kerajaan dan meningkatkan ancaman Covid19.  Kesannya ekonomi akan semakin merudum, rakyat semakin sengsara dan nyawa semakin terancam. 


9. Perisyitiharan Darurat ini amat pahit dan menyekat hak dan kebebasan ahli poltik khususnya, seperti penangguhan Pembubaran Parlimen dan PRU 15, namun ia selaras dengan prinsip Fiqh Keutamaan yang menyebut: “Apabila bertembung dua kemudaratan, hendaklah memilih kemudaratan yang ringan dan menolak kemudaratan yang berat”

يجوز ارتكاب أخف الضررين

Ulil Amri, khususnya YDP Agong dan PM bertindak selaras dengan prinsip tersebut. Kita sebagai rakyat jelata hendaklah bersangka baik bahawa tindakan tersebut adalah atas dasar tanggungjawab Baginda menjaga maslahat rakyat seluruhnya bukan untuk kepentingan peribadi. 

تصرف الإمام منوط بالمصلحة


10. Akhirnya marilah kita sama-sama fokus menyelamatkan diri, keluarga dan umat ini. Syukurilah apa yang ada, dan janganlah diruntuhkan kerajaan yang ada sebelum pasti ada ganti yang lebih baik. Suburkanlah sifat sangka baik, kerana bersangka buruk itu sering berakhir dengan dosa dan penyesalan. Mohon penambahbaikan dari ulama dan cendekiawan Islam.

Salam hormat dari saya

DATO’ AS’AD BIN AWANG

Tambun Ipoh

14 Januari 2021


No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN