Thursday 13 October 2022

PEREBUTAN KUASA

 

PEREBUTAN KUASA


1.   Ditakdirkan Allah, perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin telah dan akan berlaku sepanjang zaman. Orang yang mendapat rahmat Allah, sahaja yang  mampu memelihara dirinya dari terjerumus ke lembah kemaruk atau gila kuasa.  Perebutan kuasa sering berakhir dengan perpecahan, perseteruan, peperangan, dendam mendendam, cantas mencantas dan mungkin berakhir dengan kehancuran. Yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

2. Perebutan kuasa yang pertama berlaku dalam sejarah manusia ialah peristiwa Iblis laknatulLah alaihi, mempertikaikan pelantikan Adam a.s. sebagai khalifah di muka bumi.  Iblis berasa dia lebih baik, lebih berhak, lebih berwibawa, lebih mulia dan layak menjadi khalifah dibandingkan dengan Adam a.s. Iblis berani mempertikaikan kelayakan Adam a.s. walaupun ia dilantik oleh Allah Taala sendiri. Ungkapan yang digunakan oleh Iblis ialah:

أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِين

“Aku lebih baik darinya (Adam)  Aku Engkau cipta dari api sedangkan ia (Adam) Engkau cipta dari tanah.” (al-A’raf 12)

Kegagalan Iblis merebut jawatan khalifah dari Adam menyebabkan dendam dan permusuhannya kepada Adam a.s dan manusia seluruhnya terus membara sehingga kehari Kiamat.  Gila kuasa, pangkat dan kedudukan yang ada pada diri Iblis mengakibatkan dirinya menjadi makhluk terkutuk. Sifat dengki, dendam dan makar iblis kepada Adam itu dilanjutkan pula kepada anak cucu Adam sehingga menyebabkan perebutan kuasa dalam kalangan manusia  menjadi tidak berkesudahan sehingga ke hari kiamat.

Jikalau Tuhanmu menghendaki tentulah Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang yang diberi rahmat oleh TuhanMu…” (al-Qasas 118-119)

3. Kedudukan Rasulullah s.a.w. sebagai penghulu segala anbia’ wal mursalin, dan manusia terbaik serta paling ramai pengikut menimbulkan rasa dengki, irihati dikalangan musuh Islam. Mereka ingin merebut kedudukan tersebut. Contohnya ialah pemimpin kafir Quraisy, kaum Yahudi dan nabi-nabi palsu. Antara nabi-nabi palsu yang pernah muncul  ialah:  Musailamah bin Habib dikenali sebagai Musailamah Al Kazzab, Abhalah bin Ka’ab bin Ghauts Al Kazab atau dikenali sebagai Al-Aswadi Al-Ansi. Gerakan nabi-nabi palsu tersebut berjaya dihapuskan oleh khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a.

4. Kewafatan RasululLah s.a.w. telah menimbulkan sedikit keributan mengenai pelantikan khalifah yang akan menggantikan RasululLah s.a.w.  Golongan Ansar telah berkumpul di Saqifah untuk melantik Saad Bin Ubadah dari kalangan mereka sebagai khalifah selepas Nabi s.a.w.  Mereka berpandangan jawatan khalifah adalah milik mereka dengan alasan mereka adalah pembela Allah dan Islam.  Dengan pertolongan Allah Abu Bakar al-Siddiq berjaya mententeramkan keadaan dan meyakinkan mereka bahawa khalifah hendaklah dipegang oleh Muhajirin dari suku Quraisy. Beliau mencalonkan Umar al-Khattab, tetapi Umar menarik diri dan mencalonkan Abu Bakar al Siddiq Sendiri. Cadangan Umar dipersetujui oleh orang ramai ketika itu. Golongan Khawarij cuba menimbulkan keributan dengan mencalonkan Ali bin Abu Talib sebagai Khalifah. Namun Ali sendiri menarik diri dan memberi baiah kepada Abu Bakar al-Siddiq. Kesepakatan kaum Muslimin memberi baiah taat setia kepada Abu Bakar al-Siddiq adalah petanda rahmat Allah. Iblis gagal menghasut para sahabat Nabi s.a.w. dan gagal menimbulkan perbalahan dan perseteruan.

5. Perebutan kuasa dan keretakan kerajaan Islam mula meruncing selepas kewafatan Saidina Uthman bin Affan. Puak utama yang timbul ialah puak Ali bin Abi Talib, puak Muawiah bin Abi Sufyan dan puak Khawarij. Para ulama muktabar memberi perakuan kepada Khulafa al-Rasyidun Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a.

6. Perebutan kuasa dalam kalangan pemimpin Islam, mengakibatkan Daulah Islamiah berpecah menjadi kerajaan-kerajaan kecil.  Muawiah bin Abu Sufyan telah mengasaskan kerajaan Bani Umaiyah dan menukar system pemilihan khalifah daripada syura kepada kerajaan berdasarkan keturunan pada tahun 661-750 M . Seterusnya kerajaan Bani Abbasiah berjaya merampas dan menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyah 750-1258 M. Perebutan kuasa dan perpecahan terus berlaku sehingga kini.

7. Antara faktor yang menyuburkan sikap rakus, tamak atau kemaruk kuasa ialah peluang untuk menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan harta kekayaan, kemewahan hidup, kediaman dan kenderaan mewah percuma, gelaran, sanjungan dan boleh melakukan sesuatu sesuka hati. Jenayah dan kesalahan tersebutlah yang membawa kepada penyesalan di akhirat kelak. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.

إنكم ستحرصون على الإمارة ، وستكون ندامة يوم القيامة ، فنعم المرضعة وبئس الفاطمة

“Sesungguhnya kamu rakus untuk menjadi pemimpin. Pada hari kiamat kelak kamu akan menyesal. Mulanya amat baik (kerana mendapat harta, kuasa dan gelaran) , tetapi kesudahannya amat buruk (kerana terlibat dengan pembunuhan dan jenayah) “

(Riwayat al-Bukhari)

8.   RasululLah s.a.w. enggan memberikan jawatan kepada sahabat yang meminta jawatan. Baginda memberikan tugas atau portfolio kepada orang yang  berpotensi, kuat dan amanah menjalankan tugas tersebut. Abu Dzar al-Ghifari pernah meminta agar RasululLah s.a.w. melantiknya memegang satu jawatan. Permintaan Abu Dzar ditolak oleh baginda s.a.w. dengan memberi alasan berikut:

يا ابا ذر انك ضعيف ، وإنها أمانة، وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها، وأدى الذي عليه فيها.

رواه مسلم

Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Dan sesungguhnya pada hari Qiamat kelak jawatan itu menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dan menunaikan dengan sebenarnya.

9.   Hanya segelintir pemimpin kerajaan Islam yang layak disenaraikan sebagai Imam atau pemimpin yang adil, warak dan zahid. Kebanyakan mereka lebih mengutamakan kemewahan hidup, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan keluarga, bersikap zalim, bahkan ada yang sanggup bekerjasama dengan musuh Islam demi mengekalkan kuasanya.

10. Pemimpin-pemimpin Islam masakini, terutamanya pemimpin politik hendaklah mengambil iktibar dan pelajaran dari pemimpin-pemimpin terdahulu. Kemaruk kuasa, kedudukan, pangkat dan kemewahan duniawi orang dahulu berakhir dengan keburukan.  Ada yang dilaknat dan dikutuk oleh orang terkemudian. Ada yang kehilangan kuasa atau dibunuh akibat pemberontakan. Ada yang dihukum dan dipenjara oleh pemerintah berikutnya dan lain-lain lagi.

11.  Pemimpin Islam yang zalim dan menipu rakyat pasti akan mendapat balasan Allah di akhirat kelak.  Ma’qil bin Yasar meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

ما من والٍ يلي رعيةً من المسلمين ، فيموتُ وهو غاشٌّ لهم ، إلا حرَّمَ اللهُ عليه الجنةَ

Setiap penguasa yang menguruskan urusan kaum Muslimin, jika ia mati dalam keadaan menipu mereka, maka Allah haramkan ia memasuki syurga.”

            (Riwayat al-Bukhari)

Dalam semak ada duri

Ayam kuning buat sarang

Orang tamak selalu rugi

Bagai anjing dengan bayang

 

Burung undan burung nuri

Terkena jerat di Kuala Kedah

Tamak tuan memakan diri

Rugi mendapat sesal tak sudah

 

Kalau ingin mengail Kerisi

Bawalah sampat ke laut lepas

Hati-hati merebut kerusi

Wang habis kerusi melepas

 

 

Dato’ Hj. As’ad bin Awang

Tambun Ipoh.

14 Oktober 2022

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN