Sunday 13 August 2023

BERDAMAI DEMI MASADEPAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

 

BERDAMAI DEMI MASADEPAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

 

    PRN 15 bagi 6 negeri sudah pun berlalu.  Tahniah diucapkan kepada calon-calon yang menang.  Bagi yang tewas, perlu menerima hakikat kekalahan tersebut dan melakukan muhasabah diri dengan adil, rasional dan tidak menyalahkan pihak lain.

 

    Pengulas dan pengkritik pilihanraya di media massa mengakui hakikat umum berikut; PN mencapai kemenangan besar dikawasan ramai pengundi Melayu. DAP menang besar dikawasan majoriti pengundi Cina.  PKR umumnya hanya menang dengan bantuan DAP dan UMNO. Begitu juga dengan UMNO hanya menang dengan bantuan DAP dan PKR.  Strategi  PKR, UMNO dan AMANAH  umumnya gagal memenangi hati pengundi Melayu.

 

   Kemenangan besar PN di Terengganu, Kelantan dan Kedah, disamping meraih banyak kerusi di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan petanda kesatuan orang-orang Melayu atau orang Islam amatlah baik. Keputusan juga menunjukkan bahawa kaum Cina menampakkan kesatuan dan sokongan yang padu dan jitu kepada DAP, melebihi sokongan orang Melayu kepada PN.

 

   Prestasi parti UMNO dan PKR  kelihatan merudum dan hanya terselamat dengan sokongan kaum lain. Tanpa sokongan tersebut mereka mungkin kehilangan lebih banyak kerusi. Untuk terus kekal dan relevan pada PRU ke 16 akan datang kedua-dua parti ini, mesti berubah dan berani membuat keputusan besar.

 

    Orang Melayu perlu mengambil pelajaran dari PRN ini, bahawa kaum selain mereka sentiasa bersatu padu dan bekerjasama bagi mengukuhkan kedudukan mereka. DAP meraih kemenangan besar dengan mengambil kesempatan dari perpecahan dan krisis yang melanda parti-parti orang Melayu. Semakin meruncing perpecahan orang Melayu semakin teguh kedudukan mereka. Mereka juga berjaya memujuk ramai pemimpin Melayu menjayakan agenda perjuangan mereka melalui tawaran kerjasama dan perkongsian yang pada hakikatnya lebih menguntungkan parti tersebut berbanding  dengan perkara yang diberikan kepada UMNO PKR dan AMANAH.

 

    Kerakusan, ketamakan kepada jawatan dan kebimbangan kepada tindakan undang-undang dan mahkamah akibat jenayah peribadi yang lalu menyebabkan individu tertentu dari UMNO umpamanya sanggup menjadikan diri dan parti mereka diperalatkan untuk menjayakan agenda DAP.

 

    Sebagai seorang Melayu dan menganut Islam, saya menyeru agar kepimpinan parti orang Melayu, berhenti dari berpandangan negative terhadap Islam. Berhentilah dari memomok-momok dan memburukkan para ulama, tuan guru dan agamawan. Berhentilah dari meletakkan lebel dan gelaran yang tidak baik kepada mereka.  Hargailah jasa dan pengorbanan mereka. Berhentilah dari menanamkan kecurigaan terhadap keupayaan ulama untuk memimpin umat, bangsa,  negara dan negeri. Berhentilah dari mewarwarkan kesilapan ulama dan pemimpin Islam. Berhentilah dari menghukum ulama dan pemimpin Melayu kerana kesilapan-kesilapan kecil  yang lampau, sedangkan dalam masa yang sama mereka memejamkan mata terhadap kesilapan dan keceluparan mulut rakan-rakan mereka dari kaum lain, seolahnya kaum lain jauh lebih baik dari para ulama sebangsa dan seagama. Berhentilah dari menyebarkan fitnah, saman menyaman sesama bangsa dan agama dengan jumlah tuntutan ratusan juta ringgit yang tidak masuk akal. Berhentilah dari menormalisasikan budaya berbohong dan memfitnah dikhalayak ramai. Hadapilah perselisihan dan pertelingkahan dengan adab Islami, bertolak ansur, saling memaafkan dan menutup keaiban orang lain.

 

    Orang Melayu wajib bersatu sesama sendiri sebelum bertindak menyatukan kaum lain. Saf dan barisan umat Islam mesti diperkemaskan terlebih dahulu sebelum bergerak ke medan memimpin rakyat Malaysia pelbagai kaum ini. Ibarat pelumba kereta mesti memastikan semua komponen jentera dan kenderaannya utuh dan selamat sebelum keluar menyertai perlumbaan.

    Malaysia menghadapi krisis ekonomi yang teruk; kejatuhan ringgit, hutang negara mencecah 1.5 trillion ringgit, keyakinan pelabur asing yang menurun, politik yang tidak stabil, kebanjiran pendatangI tanpa izin, korupsi, tadbir urus yang lemah dan lain-lain.

 

   Membentuk kesatuan umat Islam yang teguh, memimpin negara pelbagai bangsa dan keturunan dengan adil, saksama, aman, harmoni dan makmur bukanlah suatu yang mustahil untuk direalisasikan.  Ia boleh dicapai dengan bertunjangkan keimanan, petunjuk Quran dan Sunnah, serta keikhlasan. Prinsip fikah:  menjaga maslahat umum lebih utama berbanding kepentigan diri sendiri mesti diguna pakai. Sebaliknya sikap ego dan mengutamakan kepentingan diri sendiri mesti dijauhi.

 

   Pucuk pimpinan PAS, PKR, UMNO dan AMANAH bertanggungjawab untuk bersemuka dimeja rundingan, menghulur tangan tanda perdamaian dan seterusnya membentuk Kerajaan Perpaduan yang lebih teguh dan stabil.

 

Firman Allah bermaksud:

 Jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berkelahi atau berperang, maka

   damaikanlah di antara dua puak itu.”   Al-Hujurat ayat 9.

 

Firman Allah:

Jika pihak musuh cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah juga (wahai Muhammad) kepada perdamaian itu dan bertawakkallah kepada Allah

 

                                                                         Al-Anfal ayat 61.

Tsauban radhiallahu anhu meriwayatkan sabda Nabi s.a..w:

Hampirlah kamu dikerumuni musuh laksana makanan dikerumuni oleh orang yang hendak memakannya. Ada yang bertanya: Adakah kerana bilangan kami sedikit ketika itu ya RasulalLah?. Sabda baginda: Bahkan bilangan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu laksana buih ketika banjir. Allah pasti mencabut dari dada musuh kamu rasa gerun terhadap kamu. Allah juga pasti mencampakkan kehati kamu penyakit wahan. Ada yang bertanya: Apa itu wahan ya RasulalLah?. Sabda baginda: Iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.”

 Riwayat Abu Daud dan Ahmad.

 

    Menolak perdamaian, meneruskan pertentangan, mengutamakan kepentingan diri atau parti sendiri mengatasi kepentingan Islam dan kepentingan umum akan membawa kepada; kegagalan melaksanakan agenda memperkukuhkan Syariat, umat dan perundangan Islam. Memburukkan keadaan ekonomi, politik dan social.  Memungkinkan UMNO, PKR dan AMANAH menjadi semakin tidak relevan. Hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan semakin dicabuli.  Imej Islam dimata bukan Islam semakin tercalar dan lain-lain.

 

   Sesungguhnya sikap ego serta angkuh para pemimpin sentiasa diperhatikan oleh rakyat.  Rakyat tidak selamanya boleh ditipu atau digula-gulakan. Mereka akan menghukum pemimpin yang korup, angkuh dan sombong melalui undi pilihanraya.  Perubahan perlu dibuat bagi memenangi hati umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia umumnya sebelum PRU ke 16 menjelang.

 

 

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN