Friday 7 January 2022

Menjaga Batas Toleransi Dari Dilampaui

 

 MENJAGA BATAS TOLERANSI DARI DILAMPAUI


1.      1.  Bencana banjir besar melanda Malaysia sewaktu negara sedang sibuk dan kalut  menghadapi wabak Covid19, sewaktu politik sedang bergolak, sewaktu perpecahan orang Melayu meruncing dan sewaktu krisis ekonomi yang teruk, telah meletakkan rakyat, negara dan agama Islam dalam keadaan yang amat kritikal. Ibarat kata sudah jatuh ditimpa tangga,  ibarat telur dihujung tanduk dan ibarat retak menanti belah.

 

2.    2.   Norma baru beribadah, vaksin dan pelabagai SOP yang dikuatkuasakan, sudah cukup memenat dan melelahkan agamawan dan pihak berkuasa  untuk berhujjah bagi  menyakinkan, umat Islam awam dan sebahagian asatizah yang berfikiran sempit agar mengikuti dan menerima pandangan JK fatwa negeri-negeri dan nasihat Kementerian Kesihatan. Antara perkara yang ditolak oleh sebahagian asatizah dan orang awam ialah fatwa keharusan dan keperluan mengambil vaksin, arahan menjarakkan sof dan memakai pelitup muka sewaktu solat.  Belum pun reda kekeliruan dan kehangatan perbincangan tersebut, berlaku pula bencana bah besar yang mengorbankan banyak nyawa serta memusnahkan rumah kediaman dan harta benda. Dalam kekalutan tersebut muncul individu tertentu mengeluarkan pandangan “Harus orang-orang  Islam bergotong royong membersihkan gereja, kuil, tokong dan sebagainya yang telah dilanda banjir”

3.      3. Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi. Dengan Bahasa yang mudah toleransi boleh diertikan sebagai sikap seseorang yang menghormati dan menghargai perbedaan yang terdapat di suatu lingkungan. Dalam bahasa Arab toleransi disebut dengan istilah tasamuh. Pada asasny sikap tasamuh merupakan salah satu bahagian dari sekian banyak sikap terpuji. Toleransi yang dianjurkan Islam merujuk kepada firman Allah bermaksud:

  Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi kamu dalam urusan agama, dan tidak mengusirmu dari kampong halamanmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.  Surah al-Mumtahanah ayat 8

 

4.   4.    Perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, akidah Islamiah, rumah-rumah ibadah Islam dan kaum lain adalah perkara yang amat sensitif dan boleh menimbulkan ketegangan kaum jika tidak ditangani dengan baik. Umumnya penganut agama Islam, Hindu, Kristian, Budha dan lain-lain masing-masing memahami sensitifnya isu berkaitan. Hormat menghormati antara satu sama lain dengan tidak mencampuri urusan agama lain sudah termasuk dalam kata tolak ansur.

5.      5. Islam melarang umatnya  mencaci maki atau memperlekeh orang orang yang menyembah selain Allah kerana dibimbangi mereka akan bertindakbalas dengan menghina Allah dan Agama Islam tanpa usul periksa. Larangan in temaktub di dalam al-Quran  surah al-An’am ayat 108. Ketinggian toleransi Islam dengan agama lain secara bertulis dalam al-Quran dan Hadis dipertikaikan. Ia tidak dapat dilihat dalam agama-agama lain. Sesetengah tokoh agama lain secara terang terangan memusuhi Islam, menganjurkan penghapusan penganut Islam dalam negara mereka, meskipun dalam masa yang sama mereka memperjuangkan hak asasi manusia.

6.      6. Islam mengharuskan urusniaga antara orang Islam dengan penganut agama lain mengenai keperluan duniawi. Bekerjasama dan bergotong royong membersihkan sisa banjir adalah sifat yang terpuji. Harus orang Islam membantu membersihkan rumah kediaman orang bukan Islam dan orang Islam juga boleh menerima pertolongan penganut lain bagi membersihkan rumah kediaman mereka. Begitu juga harus mereka membantu satu sama lain dengan memberi bantuan keperluan harian seperti beras, tepung, roti dan lain-lain selagi barangan tersebut halal dan bersumber dari yang halal.

 

7.      7. Setiap orang perlu mengekalkan dan memupuk  sifat kemanusiaannya meskipun berlainan agama dan warna kulit. Jika penyeksaan terhadap haiwan dikira berdosa dan berbuat ehsan kepada binatang dikira kebaikan meskipun memberi minum anjing yang kehausan, maka berbuat baik sesama manusia tentulah lebih ditekankan lagi oleh Islam. Anjuran berbuat baik kepada orang bukan Islam dibatasi dengan syarat selama mana mereka tidak memerangi atau mengusir orang Islam dari negeri mereka.

8.     8.  Ulama mazhab Syafi’e dan Maliki berpandangan haram atau tidak harus bagi orang Islam bekerja mencari rezeki membina gereja, kuil atau tokong penganut lain yang mensyirikkan Allah. Ia adalah persoalan akidah dan pengharamannya lebih kuat dari larangan bekerja mencari rezeki di pusat minum arak, judi atau institusi riba’.  Allah melaknat peminum arak, orang yang memerah dan meminta diperahkan, orang yang membawa dan yang meminta dibawakan, penjual, pembeli dan yang memakan hasilnya. (Maksud hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dari Ibni Umar. Disahkan oleh al- Albani)

Dan bertolongbantulah kamu dalam perkara baik dan takwa, dan janganlah kamu bertolongbantu  dalam perkara dosa dan permusuhan” Maksud surah al-Maidah ayat 2.

Gereja, kuil, tokong dan sebagainya adalah pusat perhimpunan mensyirikkan Allah, sedangkan mesyirikkan Allah adalah kezaliman yang amat besar.

 

 

9.     9.  Ulama mazhab Hanafi mengharuskan mencari rezeki bertukang membina gereja kerana matlamat dan niatnnya ialah mendapatkan upah tersebut. Adapun sengaja membinanya secara sukarela tanpa upah atau paksaan adalah haram.

Amat wajar mengharuskan orang Islam bergotong royong membersihkan kuil atau gereja bagi tujuan menempatkan mangsa bencana alam seperti banjir, kebakaran atau gempa bumi sekiranya tiada tempat lain yang sesuai. Andainya kedapatan tempat lain yang sesuai maka wajib memberikan keutamaan beralih ke tempat lain. Alasannya ialah seorang Mukmin dilarang berada ditempat atau pusat maksiat tanpa sebab yang manasabah seperti hendak menyampaikan dakwah.

 

10.Tidak ada kewajaran bagi agamawan Islam Ahlus Sunnah  Waljamaah untuk  memfatwakan keharusan bergotong royong membersihkan rumah ibadah penganut lain secara sukarela tanpa sebab mendesak.  Individu-individu atau tokoh-tokoh tertentu yang dengan berani mengharuskannya, atau menggalakkan perbuatan tersebut tidak lain dari mereka yang mempelopori atau terpengaruh dengan pemikiran Liberalisme atau Pluralisme yang telah difatwakan bercanggah dengan pandangan Ahli Sunnah Waljamaah.

11. Kesimpulannya: Islam adalah agama yang menganjurkan sikap toleransi. Namun demikian toleransi itu ada batasannya. Toleransi dalam urusan kehidupan lebih luas berbanding dengan berkaitan Akidah. Oleh itu batasan toleransi perlu dijaga agar kesucian agama Islam dan kesejahteraan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

 

 

Salam hormat dari

Dato’ Hj. As’ad bin Awang

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN