“Sesuatu perkara yang tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan adanya suatu perkara, maka mengadakan perkara itu adalah wajib”
Ibarat nak solat memerlukan kain penutup aurat. Mengadakan kain tersebut juga adalah wajib. Demikianlah juga, tanpa adanya kerajaan yang kukuh yang dipimpin oleh orang Islam, hukum-hukum Islam tidak dapat dilaksanakan.
2. Dalam kalangan orang Islam ada yang bergiat active dalam parti politik tertentu dengan niat untuk menjadi Presiden, Perdana Menteri, Menteri, MP, Adun atau jawatan-jawatan lain yang dapat memenuhi cita-citanya untuk memiliki kekayaan, pangkat dan kedudukan, kekuasaan dan sebagainya. Ia percaya parti politik tersebut sesuai dan boleh dijadikannya tunggangan mencapai hasrat tersebut. Baginya parti politik tersebut hanyalah semata-mata tunggangan, bukannya kejelasan dasar, visi, misi atau objektif parti tersebut yang didokong atau diperjuangkannya. Jarang berlaku parti politik mengubah dasar perjuangannya, namun sering berlaku ahli melompat, keluar masuk dari satu parti ke parti lain kerana kehilangan keyakinan parti itu dapat dipergunakannya bagi mencapai cita-citanya. Sebagai helah bagi menghalalkan dirinya menjadi katak lompat diberikan pelbagai alasan seperti parti atau pucuk pimpinan tidak lagi memperjuangkan dasar utama parti. Baginya niatnya bergiat sebagai ahli politik bukanlah untuk membela Agama, bangsa atau negara. Niatnya ialah untuk kepentingan peribadi.
3. Ada juga individu yang berlagak seperti pejuang dan pemimpin Islam, namun hatinya diselaputi sifat kemunafikan. Kepetahannya berpidato dan mempunyai ramai pengikut digunakan untuk menonjolkan diri kekedudukan tertinggi dalam parti bagi merealisasikan impian peribadinya menjadi pemimpin negara. Apabila dirasakan kedudukan dan kepentingan peribadinya tergugat atau tidak menjadi pilihan utama lagi, lantas ia keluar dari parti berjenama Islam yang didokongnya selama ini dan menubuhkan parti baru atau melompat ke parti lain atau bergabung dengan parti lain, hatta parti yang memusuhi Islam itu sendiri.
4. Amat sukar menemui orang yang berjuang ikhlas dalam parti, sanggup menghadapi cabaran kesusahan, kesempitan kehidupan atau kehidupan yang sederhana sehingga ke akhir perjuangan. Perkembangan semasa politik negara memaparkan ramai pemimpin katak yang sanggup menggadaikan agama, maruah diri demi menjaga kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin yang terbabit dengan kes mahkamah, rasuah dan penggelapan wang rakyat pula sanggup menghancurkan partinya sendiri, memusnahkan bangsa sendiri bahkan agama yang dianutinya.
5. Sudah 64 tahun negara ini merdeka. Sudah lapan orang Melayu Islam menduduki kerusi Perdana Menteri. Bahkah ada yang mendudukinya dua kali untuk tempoh suku abad. Dalam keadaan amat berkuasa begitupun, kedudukan Islam dan orang Melayu tidak diperkukuhkan. Tanah rezab Melayu semakin mengecil. Hutan simpan dicerobohi dan diserahkan kepada bukan Melayu. Bukit bukau digondolkan. Kekebalan raja-raja Melayu dihapuskan. Kalimah Allah yang selama ini dikhususkan kepada orang Islam dibenarkan untuk dikongsi dengan penganut lain. Keputusan mahkamah Syariah berkaitan anak jagaan pasangan berlaingan agama dan undang-undang liwat dibatalkan oleh Mahkamah Sivil. Bahkan banyak lagi kes-kes lain yang menunjukkan pemerkasaan Islam tidak pun dilakukan dengan baik seperti yang diwar-warkan dalam ucapan sewaktu majlis-majlis rasmi sewaktu sambutan Maal Hijrah atau Maulid Nabi s.a.w. Kuasa mahkamah Syariah terus ketinggalan dengan keadaan 3,5,6.
6. Parti utama orang Melayu di Semenanjung dahulunya hanyalah UMNO dan PAS sahaja. Perebutan menjadi pemimpin secara tidak sihat menjadi barah dalam kalangan orang Melayu Islam. Natijahnya perpecahan semakin parah, kuasa politik orang Melayu semakin lemah. Dari PAS lahir Amanah. Dari UMNO pula lahir PKR, BERSATU dan parti-parti nyamuk yang lain seperti pejuang. Sewaktu majoriti dua pertiga berada di tangan UMNO dan BN pun peluang memperkasakan Islam tidak diambil atau digunakan . Sewaktu Dr. Mahathir berkuasa kira-kira suku abad, beliau tidak pun mengambil peluang meminda perlembagaan bagi memperkasakan kedudukan Islam. Kini setelah hampir semuanya hilang atau luput, dan semua parti orang Melayu menjadi parti nyamuk pun mereka masih saling fitnah memfitnah, cantas mencantas, jatuh menjatuhkan demi menjaga kepentingan peribadi masing-masing.
7. Parti politik dan kuasa memerintah itu hanyalah alat untuk mendaulatkan kalimah Allah. Ia adalah alat bagi membolehkan dilaksanakan hukum-hukum Allah. Ia adalah alat bagi menegakkan keadilan sesama hamba Allah dan menjamin seseorang dapat beribadah kepada Allah dengan aman damai. Mendapat kuasa bukannya matlamat perjuangan. Ia juga bukan matlamat hidup yang mengukur kejayaan seseorang. Matlamat sebenar ialah mendapat keredaan Allah. Keredaan Allah boleh dicapai oleh orang yang berjaya memegang kuasa dan yang tidak memegang kuasa. Orang yang memegang kuasa belum tentu mendapat keredaan Allah. Ramailah para syuhada’ yang gugur tetapi mencapai keredaan Allah. Kuasa itu sendiri suatu amanah yang amat besar dan berat yang boleh menceburkan seseorang kelembah kehinaan dan kemurkaan Allah jika tidak ditunaikan sebaiknya.
8. Firman Allah:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka menyembahKu” Al-Dzariat 56. Firman Allah :
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ
“Dan mereka tidak disuruh melainkan agar menyembah Allah dengan ikhlas mentaatiNya demi Agama” a-Bayyinah 5.
Abdullah bin Qais al-Asya’ari r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. pernah ditanya mengenai seorang yang berperang menunjukkan keberanian, seorang yang berperang kerana menunjukkan semangat kesukuannya, dan seorang yang berperang kerana ria’, mana satu termasuk dalam Fi SabililLah?. Sabda RasululLah s.a.w.; Sesiapa yang berperang (berjuang) dengan niat agar kalimah Allah itu tinggi, itulah yang dikira Fi SabililLah”. Muttafaq Alaih.
Dalil-dalil berkenaan merujuk kepada perjuangan yang ikhlas kerana meninggikan kalimah Allah, kerana mencari keredaanNya, bukan kerana keduniaan atau kepentingan peribadi.
9. Semua pemimpin politik beragama Islam sewajarnya sanggup mengorbankan kepentingan peribadi, bahkan kepentingan parti demi masa depan Islam dan kelangsungan umat Islam di negara ini. Apalah ertinya meraih kepentingan peribadi atau parti sekiranya tidak diredai Allah. Pemimpin yang curang atau tidak berintegriti akan dilaknat Allah serta generasi akan datang. Pemimpin-pemimpin yang tidak berintegriti, terlibat dengan kes-kes mahkamah, wajar mengundurkan diri, bukannya menggunakan kedudukan dan parti bagi menggugurkan semua pertuduhan yang dihadapi. Hadapilah kes dan pertuduhan dengan alibi, bukti dan saksi yang dapat membersihkan diri mereka dari pertuduhan berkaitan. Ibarat kata; “Berani kerana benar, takut kerana salah.” “Berani buat, beranilah tanggung”. Menggunakan kedudukan bagi menggugurkan pertuduhan amatlah keji dan terkutuk. Aishah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:
لو أنَّ فاطمةَ بنتَ مُحمَّدٍ سرَقَتْ، لقطَعْتُ يدَها.
Andainya Fatimah binti Muhammad mencuri (pun), pasti aku potong tangannya.
Riwayat Abu Daud & Nasai’e
Hukum dan undang-undang tidak mengenal sesiapa, meskipun pemimpin atau keluarga pemimpin.
10. Akhir sekali penulis menyeru semua pemimpin Islam agar bersatupadu, duduk semeja berunding dan bertolak ansur. Semoga kemenangan berpihak kepada Islam. Hanya dengan kesatuan Islam dapat didaulatkan di negara ini. Firman Allah:
وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ
Dan janganlah kamu berbalah, kelak kamu gagal dan hilang kehebatan kamu.
Surah al Anfal 46.
Salam hormat dari
Dato’ Hj. Asad bin Awang
Tambun Ipoh.
No comments:
Post a Comment