ANTARA TOLONG
MENOLONG DENGAN ASABIAH
1.
Antara
amalan terpuji yang dianjurkan oleh Islam ialah tolong menolong dan bekerjasama
melakukan kebaikan. Contohnya ialah melakukan gotong royong atau bekerjasama
membina rumah untuk; orang miskin, OKU, warga emas, rumah ibadah, jambatan dan
lain-lain. Demikian juga bekerjasama menyediakan makanan berbuka puasa untuk
fakir miskin, golongan gelandangan, pelajar dan jamaah di masjid dan
orang-orang yang berpuasa amnya. Tolong
menolong itu merangkumi dengan tenaga, kewangan, kemahiran, bimbingan, khidmat
nasihat dan sebagainya. Firman Allah:
وَتَعَاوَنُوا
عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ
Dan
bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa. (al Maidah 2)
2.
Tolong
menolong juga meliputi tolong menolong dan memberi kerjasama: menghapuskan,
membasmi atau menyekat kemungkaran dari berlaku atau berleluasa. Semakin besar
impak tolong menolong tersebut, semakin besarlah pahala yang bakal diraih oleh
orang yang memberi pertolongan dan kerjasama tersebut . Maksud impak yang besar
ialah faedah dan kesan pertolongan tersebut dapat dirasai oleh ramai orang bagi
tempoh yang panjang. Contohnya ialah membantu polis atau penguatkuasa membenteras
jenayah atau syndicate pemalsuan kad pengenalan palsu, sijil kelahiran palsu,
penyeludupan dadah, barang makanan haram, pemerdagangan manusia, peras ugut,
skema dan sebagainya yang boleh mengancam keselamatan negara atau menggugat
ketenteraman awam. Orang ramai terutamanya masyarakat Islam hendaklah membantu
pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat yang sahih agar kegiatan haram
berkenaan dapat dibenteras. Tindakan seperti ini termasuk dalam amal salih yang
mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah. Ia termasuk dalam kata bekerjasama
mencegah kemungkaran.
3.
Islam menyarankan agar tolong menolong dan bekerjasama
itu dimulai dengan keluarga terdekat dan mempunyai hubungan silatul Rahim.
Begitu juga, dimulai dengan membantu dan berbaik dengan jiran terdekat dan seterusnya
sesama saudara Muslim. Anjuran ini berasaskan firman Allah :
إِنَّ
اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ
Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil
dan berbuat kebajikan dan memberi bantuan kepada kerabat… An Nakhli 90.
وَالْجَارِ
ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ
Dan jiran yang dekat dan jiran yang jauh, dan
rakan sejawat…
an-Nisa’ 36
Adalah
tidak kena dan tidak bersesuaian dengan tuntutan fiqh Aulawiyyat sekiranya
seseorang itu boleh bekerjasama dan bertolong bantu dengan orang lain yang
tiada hubungan kekeluargaan, sedangkan ia tidak berbuat baik kepada ibubapa,
keluarga terdekat dan jiran tetangga.
4.
Antara perkara yang dilarang dalam Islam ialah menanam dan menyuburkan semangat “Asabiyyah”. Ibn Manzur menyebut dalam Lisan al-Arab 1/606 : Asabiyyah
itu ialah; Mengajak agar membela dan menolong keluarga atau kelompok sendiri, tanpa mengira sama ada keluarganya atau
puaknya itu melakukan kezaliman atau dizalimi. Riwayat menyebut: Anak perempuan Wathilah bin al-Asqa’berkata; Ia
mendengar bapanya berkata: Aku bertanya: “Ya RasulalLah: Apakah dia asabiah
itu?” . Sabda Baginda:
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ "
Maksudnya : Bahawa
kamu menolong kaummu melakukan kezaliman.
Riwayat Abu Daud dan Nasaie
Menolong atau mempertahankan; keluarga, puak sendiri, bangsa
sendiri atau pemimpin organisasi sendiri melakukan kezaliman kepada orang lain
adalah termasuk dalam tafsiran asabiyyah terkutuk. Mengambil hak orang lain secara tidak halal dan diberikan
kepada keluarga, kaum, ahli kumpulan, ahli parti sendiri adalah asabiyyah.
Melepaskan, atau membantu melepaskan penjenayah dari keluarga, puak, ahli
kumpulan atau ahli parti sendiri yang disabitkan kesalahan jenayah, adalah
asabiyyah. Menolong penjenayah, pesalah atau puak yang zalim agar terus
melakukan kejahatan berkenaan adalah Asabiyyah. Asabiah adalah amalan
Jahiliyyah yang dituntut oleh Islam agar dihapuskan. Oleh itu orang-orang yang
memegang amanah sebagai pemimpin, anggota kerajaan, pegawai kerajaan dan sebagainya hendaklah segera
menghentikan kerja terkutuk; seperti menolong, melepaskan atau melindungi
pesalah dan penjenayah dari kumpulan mereka atau mana-mana kumpulan yang mereka
ada kepentingan, sekiranya mereka pernah melakukannya. Asabiyyah adalah amalan
jahiliyyah yang mesti dihapuskan. Firman Allah:
إِذْ جَعَلَ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي
قُلُوبِهِمُ الْحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ
Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka
suatu kesombongan, iaitu
kesombongan Jahiliah…
Surah al-Fath ayat 26.
Perkataan “Hamiyyah
al-Jahiliyyah” di atas merangkumi makna “Asabiyyah” ciri kesombo-
ngan masyarakat Jahiliah yang
tidak mahu tunduk kepada kebenaran. Semangat keji itu
perlu dikikis dan dihapuskan
agar keadilan dan ehsan dapat ditegakkan.
5.
Dalam konteks; berpersatuan, parti politik, jamaah dan hidup
dalam komuniti, amatlah baik dan digalakkan menjalin hubungan akrab melalui
permuafakatan, tolong menolong, tolak ansur, bekerjasama memperkukuhkan
organisasi masing-masing sebelum melangkau kepada kumpulan lain. Untuk menjamin
penglibatan dan tolong menolog itu menjadi ibadat dan mencapai keredaan Allah
seseorang hendaklah memenuhi syarat berikut:
a) Niat yang ikhlas kerana Allah dan mencapai
redhanya.
b) Selaras dengan kehendak syarak atau tidak
bercanggah dengan kehendak Islam.
c) Tidak melakukan kezaliman kepada kumpulan lain
meskipun mereka golongan yang kafir.
d) Tidak merendah-rendahkan kumpulan atau puak lain
yang tidak sependapat dengan mereka selama mana mereka berpegang dengan dasar
Islam atau perkara yang disepakati para ulama. Mereka hendaklah berlapang dada,
bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain dalam perkara
khilafiah.
Abu
Musa al-Asyaari meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا
Hubungan
seorang Mukmin dengan seorang Mukmin lain adalah laksana binaan yang saling
kukuh mengukuhkan antara satu sama lain. Riwayat al Bukhari dan Muslim.
6.
Kesimpulannya:
a)
Islam menganjurkan umatnya menyuburkan sikap kerjasama
dan bertolong bantu dalam perkara kebaikan.
b)
Masyarakat Islam hendaklah membantu pihak berkuasa
membasmi dan membentras kegiatan jenayah, maksiat dan kemungkaran.
c)
Mulakan tolong menolong serta kerjasama dalam keluarga,
tetangga, masyarakat dan negara.
d)
Islam menganjurkan supaya dihapuskan semangat asabiyyah
iaitu berkompromi dengan puak sendiri melakukan kezaliman kepada golongan lain.
e)
Kerjasama dan tolong menolong menjadi sebahagian dari
ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan tidak berlawanan dengan kehendak
syarak.
No comments:
Post a Comment