Wednesday 9 June 2021

Bukan Mengajar Itik Berenang.

 

BUKAN MENGAJAR ITIK BERENANG TETAPI SYOR DAN PANDANGAN


 

1)      Penulis berasa hairan dan tertanya-tanya; Mengapa KKM tidak positif dengan cadangan dan seruan pelbagai pihak agar dibenarkan penggunaan ubat antiparasit “Ivermectin” bagi merawat pesakit CovId-19.  Ubat tersebut sememangnya bukan ubat yang khusus bagi mengubati pesakit Covid-19. Namun demikian pengalaman  peribadi, penyelidikan persendirian daripada pengamal-pengamal  perubatan dalam dan luar negara menunjukkan ubat tersebut mampu memulihkan pesakit Covid-19 dengan kesan sampingan yang ringan.

 

2)      Setelah didesak pelbagai pihak sehingga ada individu yang membuat laporan polis, barulah KKM  mengeluarkan kenyataan memaklumkan 12 hospital dengan kerjasama Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) sedang menjalankan ujian klinikal mengenai keberkesanan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 berisiko tinggi.  Memandangkan kes aktif  Covid-19 pada masa kini berjumlah 81,575, dan jumlah kematian sebanyak 3,611 orang, maka amat wajarlah kajian tersebut dipercepatkan dan diperluaskan.

 

3)      Situasi sekarang amatlah kritikal. Ketakutan,  kebimbangan, tekanan emosi  rakyat dari kesan dan jangkitan Covid-19 sukar ditenangkan.  SOP yang ketat, kompaun yang tinggi mungkin tidak mampu membendung dan meredakan kebimbangan tersebut.  Tidak ada ertinya menyalahkan rakyat yang panik.  Usaha pihak berkuasa menyekat penyebaran berita palsu kelihatan kurang berkesan meskipun denda, hukuman dan kompaun berkaitan ditingkatkan.

Dikuatiri tempoh lock down yang panjang, kompaun yang tinggi, SOP yang terlalu ketat dan hukuman yang berat akan memburukkan lagi aktiviti ekonomi, pendidikan dan penghayatan agama khususnya Islam. Dalam situasi kelam kabut sebegini,  kerajaan, khususnya KKM perlu bersifat terbuka, menimbang dan menerima cadangan alternatif yang dikemukakan selagi nampak kebaikannya mengatasi keburukan. Dengan bahasa yang mudah; sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang lebih besar dari keburukan, maka hendaklah diambil. Sebaliknya jika keburukan lebih besar dari kebaikan hendaklah ditolak.  Suasana sekarang menunjukkan hampir tidak kedapatan pilihan yang 100 peratus baik, melainkan ada juga keburukannya.

 

4)      Alasan KKM menolak atau melengahkan syor menggunakan ubat parasite “Ivermectin” bagi merawat pesakit Covid-19 mungkin kerana: Belum ada data atau bukti yang boleh diambil kira yang menunjukkan ubat itu berkesan untuk merawat Covid-19 atau, ubat berkenaan bukan ubat yang khusus untuk Covid-19 atau, dikuatiri meninggalkan kesan sampingan atau, bertentangan dengan sesuatu peraturan, atau tidak disyorkan oleh WHO,  atau bimbang dengan tindakan undang-undang dan dipersalahkan jika gagal atau berlaku kematian, kecacatan dan sebagainya. 

 

5)      KKM seharusnya bersifat berani mencuba sesuatu yang baru, kreatif dan bertindak pantas menyelesaikan masalah pertambahan bilangan pesakit, kesesakan hospital, kekurangan katil, kekurangan kakitangan front liners, kekurangan alat bantuan pernafasan, bilik ICU, ventilator dan sebagainya. KKM perlu berani mencari suatu alternative rawatan dan tidak semata-mata bergantung kepada Vaksin yang bersifat pencegahan. Usaha KKM memberi vaksin perlu dipuji dan disokong, namun usaha tersebut juga berjalan amat lambat dan banyak cabaran. Pada masa kini, jumlah kes ICU adalah sebanyak  905 pesakit dan 453 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. Pesakit yang seramai 1,358 ini mempunyai harapan yang tipis untuk pulih. Oleh itu adalah lebih baik menggunakan ubat Ivermactin atau alternative lain daripada semata-mata bergantung kepada kekuatan antibodinya melawan virus Covid-19 berkenaan.

 

6)      Jabir radhialLahu anhu meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

 

لكل داء دواء , فاذا أصيب دواء الداء, برئ باذن الله تعالى.   رواه مسلم

Setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat yang betul mengenai penyakit, sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah Taala.

 

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

ان الله لم ينزل داء الا أنزل له شفاء        رواه البخاري

Sesungguhnya Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Ia menurunkan bersamanya ubat penyembuh.

 

 

Salam hormat dari saya

 

Dato’ Hj. As’ad bin Awang

Tambun Ipoh, Perak.

9 Jun 2021

  

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN