Monday 9 August 2021

MAKNA HIJRAH 1443

MEMBERI MAKNA KEPADA MAAL HIJRAH 1443


Kita berada di ambang Maal Hijrah 1443. Marilah kita memberi makna dan menghayati roh Maal Hijrah 1443 dengan melakukan perkara berikut:
1. Meningkatkan dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah dan rukun Iman berdasarkan mazhab Ahlus Sunnah Waljamaah aliran Asyairah dan Maturidiyyah.
2. Bersatupadu, dan meningkatkan ukuwwah dan perpaduan umat Islam dengan mencontohi golongan Muhajirin dan Ansar, Puak Aus serta Khazraj.
3. Menghentikan segera perbalahan dan permusuhan sesama Islam kerana perbezaan fahaman politik dan aliran mazhab fiqh. Permusuhan ini amat bertentangan dengan semangat Maal Hijrah yang dilaungkan, merugikan umat Islam, membuka ruang kepada musuh Islam, mengkucarkacirkan umat Islam, melemahkan kuasa politik orang Melayu dan Islam, bahkan menyebabkan seluruh umat Islam negara terkesan teruk dan merempat di negara sendiri.
4. Bekerja keras menggunakan ilmu pengetahuan, kemahiran, hartabenda, kuasa yang dipegang, usaha dan tenaga bagi memartabatkan kedudukan Islam, umat Islam, keluarga dan diri sendiri. Umat Islam mesti menerajui politik negara, ekonomi, social, pendidikan dan aspek lain kerana penguasaan tersebut adalah alat untuk mencapai kedudukan “KHAIRA UMMAT”
5. Menghentikan jenayah rasuah, nepotisme dan kronisme dalam tadbir urus negara dan menyekat punca-punca maksiat dari berleluasa.
6. Mematuhi dan mentaati perintah dan saranan ulil amri, selagi tidak berlawanan dengan kehendak agama Islam dan tuntutan maslahat umum.
7. Mengenali musuh sebenar umat Islam dan sentiasa berawas agar tidak terpedaya dengan tipu muslihat mereka yang licik.
8. Memelihara dan memperbaiki kualiti institusi keluarga yang menjadi asas pembentukan negara yang baik dan diredai Allah.
Memburu rusa di dalam rimba
Sekali memanah terus mengena
Awal Muharram sudahlah tiba
Mari berhijrah penuh bermakna
Kalau ke Mekah bawa bekalan
Menuju Mina di waktu malam
Hayatilah hijrah melalui amalan
Majukan umat martabatkan Islam.
Menjala ikan naik perahu,
Dapat seekor jual di pasar
Mari bersatu berganding bahu
Laksana Muhajirin dan Ansar
Bunga kekwa, bunga melati
Buah mempelam buah semangka
Tingkatkan takwa sucikan hati
Sesama Islam baikkan sangka
“MANHAJ RABBANI UMAT BERKUALITI”
DATO’ HJ. ASAD BIN AWANG
TAMBUN IPOH PERAK.

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN