Saturday 9 April 2022

AWLAWIYYAT SOLAT-SOLAT SUNAT


SUSUNAN KEUTAMAAN SOLAT SUNAT
1. Solat sunat dua hari raya. Keutamaan ini kerana waktunya telah ditentukan atau terbatas kepada dua masa yang singkat itu sahaja. Selain itu, Nabi s.a.w tidak meninggalkan mengerjakannya,, bahkan menggesa kaum lelaki, wanita, tua dan muda turut serta melakukannya ditempat terbuka seperti padang.
2. Solat gerhana matahari dan bulan. Waktu menunaikannya juga terhad sewaktu gerhana berlaku. Waktunya luput sebaik gerhana tamat. Keutamaan solat sunat seterusnya ialah solat minta hujan, atau sunat istisqa’.
3. Solat sunat rawatib.
Ummu Habibah radhialLahu anha berkata: Beliau mendengar RasululLah s.a.w. bersabda:
ما من عبد مسلم يصلي لله كل يوم اثنتي عشرة ركعة تطوعا غير الفريضة الا بنى الله له بيتا في الجنة. رواه مسلم
Tiada seorang hamba Muslim yang menunaikan setiap hari dua belas rakaat solat sunat selain solat fardu dengan ikhlas, melainkan Allah binakan untuknya sebuah mahligai di dalam syurga.
Ummul Mukminin Aisyah radhiallahu anha berkata: Rasulullah s.a..w. bersabda:
من ثابر على ثنتي عشرة ركعة من السنة بنى الله له بيتا في الجنة؛ أربع ركعات قبل الظهر، وركعتين بعدها، وركعتين بعد المغرب، وركعتين بعد العشاء، وركعتين قبل الفجر. رواه الترمذي
Sesiapa yang berterusan menunaikan solat sunat dua belas rakaat, Allah akan binakan untuknya sebuah mahligai di dalam syurga. Empat rakaat sebelum Zohor, dan dua rakaat selepasnya. Dua rakaat selepas Maghrib. Dua rakaat selepas Isyak. Dan dua
rakaat sebelum solat subuh.
Menurut mazhab Syafi’ie dan Ahmad semua solat rawatib empat rakaat di atas didirikan 4 rakaat dengan 2 salam.
Sunat ditambah lagi dengan 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat sebelum Maghrib, 4 rakaat sebelum Asar.
4. Solat Witir. Sekuran-kurangnya satu rakaat, dan paling banyak sebelas rakaat, dengan enam salam. Tidak ada galakan mengerjakan lebih dari bilangan tersebut. Bagi yang tiga rakaat terakhir afdhal diceraikan 2 campur 1. Waktu menunaikannya ialah selepas solat Isyak dan berakhir sebaik masuk waktu Subuh. Afdhal melewatkan solat Witir sehingga menjadi sebagai penutup semua solat malam. Al Bukhari meriwayatkan hadis Nabi s.a.w:
اجعلوا أخر صلاتكم بالليل وترا
Maksudnya: Jadikanlah solat malam kamu yang terakhir itu Witir.
Sekiranya seorang telah melakukan solat Wirtir sebelum solat Tahajjud, dia tidak perlu mengulangi solat Witirnya.
Sunat mengerjakan solat Witir dengan berjamaah seperti solat
Teraweh. Harus didirikan 3 rakaat 1 salam. Bagi tiga rakaat terakhir solat Witir, sunat membaca Surah al-A’la, al-Kafirun, Ikhlas dan Mi’wazatain.
5. Solat sunat tahajjud
6. Solat Teraweh 20 rakaat 10 salam . Mazhab Maliki berpandangan solat sunat Teraweh disunatkan sehingga 36 rakaat.
7. Solat Duha, sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya12 rakaat . Afdhal dikerjakan 8 rakaat berdasarkan amalan Rasulullah menerusi hadis Ummu Hani'.
8. Solat sunat Tahiyyatul Masjid. Dua rakaat sunat Ihram. Dua rakaat sunat Tawaf. Dua rakaat sunat Wuduk. Dua rakaat sunat Hajat dan Dua rakaat sunat balik dari musafir.
Tertib keutamaan di atas adalah berdasarkan pandangan Imam Abu Abdillah Muhammad bin Zanki al-Asfarayini wafat 747H.
Dato’ Hj. Asad bin Awang
Tambun Ipoh.

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN