Saturday 30 April 2022

Menyambut Aidil Fitri Yang Mendatangkan Pahala

MENYAMBUT AIDIL FITRI YANG MENDATANGKAN PAHALA


1.       Menghidupkan malam Aidil Fitri dengan beribadat seperti zikir, solat, tasbeh, membaca al Quran dan banyak bertakbir.  Muaz bin Jabal r.a meriwayatkan sabda Nabi s.a.w. bermaksud:

“Sesiapa yang menghidupkan malam-malam yang empat, wajiblah syurga untuknya: Malam Tarwiah, malam Arafah, Malam Nahar, dan malam Firti”   Riwayat Ibnu Asakir.

 

Imam Tabrani meriwayatkan  dari Ubadah bin Samit sabda Nabi s.a.w. bermaksud:

“Sesiapa menghidupkan malam Fiitri dan malam Adha, hatinya tidak akan mati diwaktu hati-hati lain mati”

Amalan bertakbir dari rumah ke rumah adalah baik dan patut di hidupkan

 

2.       Mandi, bersugi, memakai wangian dan berpakaian elok dan baru sebagai tanda bersyukur dengan nikmat Allah.

 

3.       Bertakbir sebanyak-banyaknya selepas solat subuh. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud:

“Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa, dan hendaklah (bertakbir) membesarkan Allah kerana hidayat yang diberi kepada kamu, dan agar kamu bersyukur”

 

4.       Memastikan telah mengeluarkan zakat Fitrah sebelum menunaikan solat sunat Aidil fitri.

 

5.       Membanyakkan bersedekah kepada golongan malang seperti fakir miskin, anak-anak yatim, janda-janda yang susah, orang-orang yang terlantar, sakit, melarat dan sebagainya.

 

 

6.       Menunjukkan muka yang manis dan suasana gembira sewaktu bertemu sesame kaum Muslimin.

 

7.       Makan terlebih dahulu sebelum pergi menunaikan solat Sunat Aidil Fitri. Sunat memakan beberapa biji kurma dengan bilangan ganjil.

 

8.       Pergi menunaikan solat Aidil Fitri dengan berjamaah. Sunat pergi berjalan kaki dengan perjalanan pergi dan balik yang berbeza. Kedua-dua jalan itu akan bersaksi mengenai kehadirannya, bahkan para malaikat sepanjang perjalanannya akan berdoa kebaikan untuknya. Solat Aidil Fitri sunat dilewatkan sedikit bagi memberi ruang membayar zakat Fitrah. Hendaklah berusaha mendengar khutbah yang disampaikan dengan sebaiknya.

 

9.       Membanyakkan mengucapkan salam hari raya kepada kaum keluarga, saudara mara, rakan taulan, jiran tetangga, kenalan dan semua kaum Muslimin yang ditemui selepas solat Aidil Fitri. Contohnya menyebut:

تقبل الله منكم    -   تقبل الله طاعتكم    -   تقبل الله أعمالكم    -  كل عام وانتم بخير

10.   Ziarah menziarahi antara satu sama lain terutamanya ibubapa, keluarga terdekat, jiran tetangga dan sahabat handai bagi mengukuhkan hubungan silaturrahim dan saling bermaafan antara satu sama lain bagi melahirkan masyarakat Islam yang teguh, kuat dan bersatu padu.

 

11.  Dalam Islam hanya Aidil Fitri dan Aidil Adha yang rayakan. Rasulullah s.a.w tidak merayakan kemenangan perang spt Badar atau ulang tahun Hijrah baginda. Ibadat puasa dan Haji mempunyai keistimewaan dan petanda kemenangan yang besar.Solat sunat Aidil Fitri dan Adha adalah solat sunat Muakkad yang terbesar pahalanya. Bahkan menjadi syiar Islam. Rasululah s.a.w menggesa dilaksanakan ditempat terbuka disertai lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua.

 

12.  Perkara yang mesti dijauhi dan dielakkan sewaktu menyambut Aidil fitri ialah:

 

a)      Berbelanja secara keterlaluan, apatah lagi diluar kemampuan, menurut hawa nafsu dari segi penyediaan makanan, minuman, pakaian, perhiasan diri, rumah kediaman, keinderaan.

b)      Menunjuk-nunjuk dan mempamerkan kemewahan dan kemampuan.

c)      Berhibur secara melampaui batas dan bercanggah dengan kehendak Islam atau berjamu dengan perkara haram seperti arak.

d)      Pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa hijab, bersalaman lelaki dan perempuan yang menimbulkan fitnah serta dilarang seperti sesama remaja, ipar duai dan sebagainya.

e)      Keterlaluan menggunakan media social sehingga mengabaikan tegur sapa, dalam kalangan keluarga dan sewaktu bertamu.

f)       Keterlaluan menyambut Aidil Fitri sehingga lalai dan mengabaikan kewajipan fardu seperti solat fardu, membayar hutang menunaikan janji dan sebagainya.

Salam hormat dari saya

Dato’ Hj. Asad bin Awang

Tambun Ipoh Perak. 

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN