Friday 16 September 2022

Bersatulah dalam satu saf sebelum nasi menjadi bubur

 

BERSATULAH DALAM SATU SAF SEBELUM NASI JADI BUBUR


1)      PRU ke 15 akan diadakan selewat-lewatnya pada 16 September 2023 setahun dari sekarang.  Tiada satu partipun yang diyakini dapat memegang teraju kerajaan secara bersendirian, jauh sekali untuk memenangi dua pertiga kerusi Dewan Rakyat. Setiap parti menghadapi masalah dalaman yang kritikal.  Parti utama orang Melayu seperti: UMNO, PAS, MUDA, Amanah, Bersatu, Pejuang, dan lain-lain termasuk PKR parti pelbagai bangsa, masing-masing  perlu segera mengemaskan parti untuk meraih undi padu orang Melayu dan pengundi kaum lain.

 

2)      Satu-satunya cara untuk meraih kemenangan padu dan membentuk kerajaan yang kuat ialah dengan bersatu padu, bergabung, membentuk satu payung besar yang meyakinkan pengundi mampu menaugi mereka, menjanjikan masa hadapan yang baik dari segi ekonomi, politik, sosial, dan pendidikan selain memelihara  kedudukan dan kesucian agama Islam dan keamanan negara. Tanpa membentuk gabungan atau dengan hanya membentuk gabungan kecil, pastilah berlaku pertembungan sesama sendiri, sesama parti Melayu.  Barangkali lima calon Melayu berentap sesama sendiri.  Natijahnya semua parti tidak mendapat majoriti undi yang besar, bahkan kerusi yang dimenangi juga tidak dapat membentuk kerajaan yang stabil dan kuat. Fenomena PRU ke 14 yang lalu dijangka berulang kembali pada PRU ke 15 akan datang seandainya kesepakatan tidak dapat dicapai.

 

 

3)      Pengalaman PRU ke 14  yang membawa kepada pelantikan tiga orang Perdana Menteri bersilih ganti, lompat melompat parti, jatuh menjatuhkan antara satu sama lain tidak sepatutnya berulang kembali. Pembentukan gabungan dan kerjasama selepas masing-masing mendapat kerusi yang sedikit tidak akan membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan yang teguh. Gabungan tersebut dengan mudah pecah apabila ada yang tidak berpuas hati kerana mendapat sedikit agihan jawatan menteri, timbalan menteri dan sebagainya.

 

4)      Rakyat khususnya umat Islam terlalu meluat dan bosan dengan sikap pemimpin-pemimpin parti yang saling bercakaran sesama sendiri, fitnah memfitnah, jatuh menjatuhkan antara satu sama lain, berebut-rebut ingin menjadi Perdana Menteri, berebut-rebut menjarah perbendaharaan negara untuk kepentingan diri dan keluarga sendiri, terpalit dengan pelbagai skandal dan perbicaraan mahkamah, membersihkan diri dan tangan yang kotor dengan pembohongan dan penipuan, menyalahgunakan media masa untuk mempalsukan kebenaran dan menghiasindahkan kepalsuan sehingga dilihat sebagai kebenaran.  Tidak cukup dengan itu rakyat dihasut agar mempertahankan pemimpin dan individu-individu yang ternyata bersalah, dan seterusnya memfitnah individu yang baik sebagai tidak berintegriti.  Umumnya plot politik semasa orang Melayu amatlah jijik dan wajib dihentikan segera.

 

 

5)      Pemimpin parti Melayu bertanggungjawab menjaga kepentingan masa depan Islam, dan masa depan bangsanya sendiri.  Mereka wajib; bersatu padu, bertolak ansur, bekerjasama, membentuk satu saf yang kuat hingga berjaya meraih majoriti kerusi Parlimen. Tanpa kemenangan besar, masa depan Islam dan orang Melayu akan terus terumbang ambing, ibarat telur dihujung tanduk, ibarat untung sabut timbul dan untung batu tenggelam.   Pemimpin-pemimpin parti Melayu dan Islam mesti  menghentikan sifat tamak dan rakus.  Ketamakan dan kebodohan untuk berebut kerusi dan jawatan sesama sendiri akan berkesudahan dengan  masing-masing terlepas peluang untuk menang. Ibarat pepatah Melayu;  Ayam terlepas tangan berbau tahi,  Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

 

6)      Sikap tamak dan gila kuasa adalah penghalang utama untuk pemimpin parti Melayu dan Islam bersatu.  Tamak dan rakus untuk menjadi Perdana Menteri dan membolot jawatan utama kementerian. Jawatan-jawatan  utama dalam kerajaan sering disalahgunakan untuk melantik pegawai tinggi kerajaan yang dapat melindungi atau melepaskan mereka dari salahlaku rasuah, tuduhan-tuduhan di mahkamah, memalsukan laporan-laporan kewangan, menghalalkan pemindahan perbendaharaan negara ke akaun mereka, keluarga atau kroni. Kerakusan sesetengah pemimpin politik sampai ketahap tidak mempedulikan rintihan golongan bawahan yang miskin dan susah. Mereka melupakan janji-janji untuk membantu rakyat apabila dilantik, melupakan manifesto pilihanraya yang telah diwarwarkan. Bahkan sanggup memperalatkan agama Islam untuk mencapai niat buruk dan jahat.

 

7)      Sebelum terlambat, sebelum nasi menjadi bubur, penulis mengajak semua para pengundi PRU ke 15, khususnya orang Melayu Islam agar; hanya memberi sokongan kepada calon yang bersih dari sebarang tuduhan rasuah, bersih dari salahlaku yang membabitkan mahkamah Syariah dan Sivil, diyakini tidak melompat parti, dan diyakini akan mempertahankan keutuhan Islam. Calon yang disokong hendaklah orang yang mempunyai komitmen yang tinggi dengan usaha memperkukuhkan Islam, seorang yang berilmu pengetahuan tinggi, berkemahiran, berkemampuan memikul amanah dengan jayanya dan berintegriti. Calon-calon yang mempunyai sejarah yang buruk, tercalar dengan pelbagai fitnah, terkait dengan tuduhan rasuah di mahkamah dan sebagainya hendaklah ditolak.  Keutamaan sokongan juga hendaklah diberikan kepada calon yang beragama Islam berbanding dengan calon bukan beragama Islam.

 

8)      Semua pemimpin parti Melayu dan Islam wajib berunding dengan jujur, ikhlas, dan mengutamakan maslahah umum Islam dengan bekerjasama antara satu sama lain. Buanglah permusuhan lama, lupakanlah titik-titik hitam lama kerana setiap orang dan parti mempunyai kelemahan masing-masing. Pemimpin atau individu yang mewarwarkan kesilapan lama, membesarkan titik hitam lama, bersikap negatif sesama Islam dengan alasan kesilapan lama, sebenarnya mendedahkan kedengkian diri sendir, mendedahkan sifat negatif dan tidak ingin membentuk kesatuan. Dalam masa yang sama masing-masing memahami Islam menganjurkan bersatupadu, saling memaafkan, saling menyembunyikan keaiban saudaranya, saling tegur menegur dengan baik dan ikhlas. Inilah masa yang amat sesuai bagi pemimpin Islam menunjukkan contoh mengaplikasikan arahan Islam agar bersatu padu dan menjauhi perpecahan.

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berpecahbelah dan berbalah setelah  sampai kepada mereka keterangan yang nyata, dan mereka itulah orang yang mendapat azab yang berat.” Maksud Ali Imran 105

9)      Sempena memperingati Hari Malaysia 16 September 2022, diharapkan Malaysia aman makmur, teguh dan bersatu padu.

 

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH.

BULAT AIR KERANA PEMBENTUNG, BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT

 

Dato’  HJ. AS’AD BIN AWANG

TAMBUN IPOH.

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN