Sunday 25 September 2022

MUHASABAHLAH WAHAI BANGSAKU

 MUHASABAHLAH WAHAI BANGSAKU


Penjajah
Kau durjana, kejam, ganas, licik
Kau pecahkan Melayu
Kau tabor onak duri di lorong bersatu
Dasarmu pecah, perintah
Terus menjajah
Halalkan menjarah
Kau abdikan Melayu
Di ibu pertiwi.
Penjajah
Kau guna jampi mentera
Haram Melayu bersatu
Kau lahirkan talibarut petualang
Kau tambahkan duri berbisa dalam daging
Kau simpan gunting dalam lipatan
Kau kaburkan mata dengan dedak, dirham
Kau hembus bisikan kesangsian, kebencian
Melayu berpecah kau memerintah
Penjajah
Pergimu dengan warisan
Melayu berbalah, berkelahi tak sudah
Berebut kerusi pantang beralah
Walau memfitnah
Mengaib menjatuh maruah
Mengkhianat sesama bangsa
Mengadu domba tak kira masa
Ulama, ilmuan, pendeta terpalit noda
Bersumpah, berta’liq apa saja
Demi untuk kuasa, harta dunia.
Sedarlah hai bangsaku
Usahlah jadi petualang
Dapat kuasa lupa segala
Norma baru perasuah dibela
Berbohong berdusta di mana sahaja
Di masjid, mahkamah, parliman…
Keadilan kau lenyapkan, kebatilan diwarwarkan
Marhaen menangis, menjerit melolong di kaki lima
Telinga kau pekakkan mata kau pejamkan
Aduhai bangsaku
Hentikanlah segera
Usah sampai berputih mata
Kerusi dihambat terlepas semua
Negeri tergadai, agama kemana
Maruah hilang, hidup merana
Orang asing juga memerintah kita
Kita diperhamba, dihina di bumi merdeka
Asbab berpecah, berbalah sesama kita
Terteguk racun penjajah durjana
AS’AD BIN AWANG
TAMBUN.
23 SEPTEMBER 2022

No comments:

RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP

  RANG UNDANG-UNDANG PENGGAL TETAP ANTARA KEBAIKAN DAN KEBURUKAN